Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Perlis Lancar Tabung Urus Wang Tak Patuh Syariah

PADANG BESAR, 16 Julai 2014- Majlis Agama Islam Perlis dan Adat Istiadat Melayu (MAIPs) melancarkan Tabung Bara'Atuz-Zimmah atau 't-BAZ MAIPs' bagi menguruskan wang tidak patuh syariah. Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah melancarkan tabung itu sempena perasmian Masjid Al-Ridza Kampung Panggas, di sini malam tadi. Menurut baginda pewujudan tabung itu dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa Perlis dalam Bengkel Garis Panduan Agihan Zakat Negeri Perlis dan telah diperakui oleh Mesyuarat MAIPs Bilangan Kedua bagi tahun 2014 baru-baru ini. Turut berangkat ke majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam & Pembangunan Sumber Manusia, Khairi Hasan dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemudahan & Prasarana Awam, Kemajuan Luar Bandar dan Kesihatan, Jafperi Othman. 

 "Penubuhan tabung khas ini sebagai medium bagi masyarakat atau badan serta syarikat yang berhasrat menyalur dan melupuskan wang tidak patuh syariah agar wang tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat Islam dan dikongsi  bersama bukan Islam. Beta yakin ramai tidak mengetahui atau kurang jelas apakah harta tidak patuh syariah. Mengikut definasi harta tidak patuh syariah ialah harta atau wang yang dimiliki atau diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak," titah  baginda.

Syed Faizuddin bertitah contoh wang tidak patuh syariah ialah hasil perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba atau faedah, perjudian dan pertaruhan, pengeluaran atau penjualan barangan tidak halal atau barangan yang berkaitan. Insurans konvensional, aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah, pengeluaran atau penjualan barangan berasaskan tembakau atau barangan berkaitan, pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah serta aktiviti seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah dan loteri, titah baginda. 

Baginda bertitah dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah tidak boleh digunakan untuk manfaat atau kepentingan diri sendiri dan perlu dibersihkan dengan diserahkan kepada Baitulmal. Baitulmal akan menggunakan wang atau harta itu untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai atau melaksana projek pembinaan, penyelenggaraan, pembangunan perumahan untuk fakir miskin, ekonomi berpusat, pusat perkembangan komuniti dan sebagainya, titah baginda.

Syed Faizuddin mempelawa organisasi di dalam negeri dan juga di luar Perlis termasuk di luar negara yang berhajat membersihkan harta supaya menyalurkannya kepada Baitulmal MAIPs. Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Islamic: 559021602422 atau terus ke kaunter kutipan MAIPs di Bangunan MAIPs di alamat: A2 Taman Pengkalan Asam, Jalan Tuanku Syed Putra, 01000 Kangar Perlis, titah baginda.

 

Sumber daripada Bernama