Pengarah MIDA Milan, Awangku berkata, jika sebelum ini pelabur dari Switzerland yang lebih banyak meninjau potensi perniagaan mereka ke Malaysia, kini Itali juga telah menunjukkan minat yang meningkat.

Awangku yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan dari Switzerland, Itali, Greece, Cyprus, Malta dan Turki berkata, negara-negara berkenaan melihat rantau Asia merupakan satu kawasan pertumbuhan baharu dan Malaysia merupakan lokasi paling strategik untuk mereka meletakkan asas perniagaan dan sekali gus bagi menembusi pasaran rantau Asia.

"Switzerland adalah pelabur tradisional, tetapi Turki adalah negara baharu menunjukkan minat terutama selepas lawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyertai taklimat kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa lawatan ke sebuah syarikat membuat peluru di sini.

Raja Muda Perlis dalam rangka lawatan kerja meninjau peluang pelaburan di sini untuk dibawa ke Perlis.

Mengulas lanjut, Awangku berharap lebih banyak pihak khususnya kerajaan negeri mengambil inisiatif mencari peluang kerjasama perniagaan di rantau ini.

MIDA kata beliau, melaksanakan inisiatif baharu dengan membantu syarikat Malaysia mencari rakan kongsi di rantau ini.

Dalam pada itu Duta Malaysia di Switzerland Sharrina Abdullah berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha yang diambil oleh pelbagai pihak untuk mencari pelabur di negara ini bagi menjalankan kerjasama dengan syarikat di Malaysia.

Sharrina berkata, pihak kedutaan akan membantu memudahkan semua urusan pihak terbabit.

Dalam pada itu difahamkan jika sebelum ini banyak pelabur dari Eropah, khususnya Jerman dan Switzerland agak gusar dengan keadaan Malaysia khususnya melibatkan isu integriti, kini keyakinan tersebut telah kembali.

Difahamkan pelaburan syarikat dari negara Jerman dan Switzerland merosot berikutan ketidaktentuan pengurusan ekonomi terutama membabitkan isu 1MDB yang menyebabkan mereka menjauhkan diri dari Malaysia.

Isu berkenaan yang sebelum ini menyukarkan pelabur untuk membuat keputusan kerana dikhuatiri urus tadbir yang lemah akan turut menjejaskan pelaburan mereka.

Bagaimanapun Malaysia kini berada kembali di dalam radar pelabur di Eropah, termasuk dari Turki yang telah berjaya membangunkan teknologi pertahanan yang tinggi di negara berkenaan.

Kehadiran delegasi Perlis yang diketuai oleh Raja Muda Perlis sangat dialu-alukan pelabur di Jerman dan Switzerland.

Kejayaan di Perlis akan menjadikan kayu ukur Malaysia dalam menjayakan pembangunan berasaskan teknologi tinggi.

Kelicinan urusan itu juga adalah kerana kerjasama jitu ditunjukkan oleh pelbagai pihak khususnya Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dalam memudahkan pelbagai urusan yang agak rumit apatah lagi membabitkan industri persenjataan.

Kerajaan negeri Perlis dan agensi-agensi di bawahnya juga memberi sokongan sepenuhnya.