Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian selepas berkenan berangkat meninjau dan seterusnya menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM29,556 kepada salah seorang mangsa iaitu Ahmad Kancil, hari ini.

Bantuan itu berupa membaik pulih sebuah rumah di tapak bekas kediaman Ahmad yang rosak teruk dalam bencana berkenaan di Kampung Sempering, Santan di sini.

Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor. 

Pada kesempatan yang sama, baginda mengucapkan penghargaan kepada setiap agensi, pemimpin masyarakat setempat dan jiran tetangga yang membantu mangsa-mangsa ribut.

"Amalan baik seperti ini hendaklah dikekalkan malah diperhebatkan lagi melalui perancangan yang lebih teratur dalam menghadapi sebarang bencana," titah baginda.

Baginda turut menyeru orang perseorangan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut tampil membantu agensi-agensi kerajaan yang terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis dan MAIPs pada masa hadapan.

Menyentuh mengenai sambutan Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini pula, Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menghayati erti di sebalik ibadah korban iaitu untuk mendidik setiap insan berkongsi kelebihan bersama mereka yang kekurangan.

"Begitulah juga semangat ingin membantu sesama manusia selain memupuk rasa simpati dan toleransi di kalangan anggota masyarakat," titah baginda.