"Bagi tujuan itu kita haruslah menyemai sikap saling memahami, bertolak ansur, berfikiran terbuka serta bertoleransi di dalam masyarakat.

"Situasi ini haruslah dikekalkan kerana mampu menjamin keselesaan dan keselamatan rakyat," titah baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Kayuhan Merdeka Kastam Perlis 2019 di Kompleks Kastam Negeri di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Kastam Negeri, Wan Nor Wan Mamat serta para pegawai kanan beliau.

Turut serta Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah.

Program yang turut disertai seramai 16 orang peserta dari Bangkok, Thailand, itu berbasikal sejauh 42 kilometer.

Program ini adalah anjuran Majlis Sukan Dan Kebudayaan Kastam Cawangan Perlis dan Badan Kebajikan Islam Kastam.

Dalam pada itu baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menekankan bahawa kemerdekaan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikecapi.

"Banyak lagi negara di dunia ini yang masih bergolak saban hari dan belum menikmati kemerdekaan hakiki sebagaimana yang sedang dinikmati oleh negara ini," titah baginda lagi.

Dalam program yang disekalikan dengan kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke 61 bagi tahun ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan projek peningkatan sosio ekonomi usahawan asnaf MAIPs berupa sebuah kedai besi milik Azrol Rizal Mahmud, 33, di Km. 2 Kampung Sempering Jalan Santan di sini.

Azrol sebelum ini pernah menerima sumbangan bantuan modal peralatan daripada MAIPs sebanyak RM5,128.

 

~ UTUSAN ONLINE~