Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penambahbaikan itu juga penting bagi menarik lebih ramai para pegawai dan anggota sukarela itu untuk terlibat dalam siri-siri latihan pasukan tersebut.

"Para pegawai dan anggota sukarela sendiri akan menjadi ejen promosi kepada yang lain di luar sana untuk menyertai askar wataniah dan terus hadir dalam latihan-latihan yang diaturkan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-86 Peringkat Rejimen 504 Askar Wataniah di perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah di sini, semalam.

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Komander rejimen tersebut yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri itu, disambut oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak serta para pegawai kanan rejimen berkenaan.

Seterusnya, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, pihak kepimpinan rejimen itu juga akan berbincang dengan barisan jawatan kuasa pendukung askar wataniah negeri baharu yang bakal dilantik dari kalangan ketua jabatan kerajaan negeri dan juga pihak swasta.

"Mereka ini akan melihat secara lebih dekat peluang-peluang untuk memperkasakan lagi kemudahan berkaitan dengan pembangunaan infrastruktur latihan dan juga logistik di rejimen itu," titah baginda.

Terdahulu, Mohamad Zaidi dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menghargai pengorbanan seluruh warga tentera yang setia dalam mempertahankan kedaulatan raja dan negara.-

~ UTUSAN ONLINE ~