ARAU, 18 Sept (Bernama) -- Modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diperlukan untuk negara kekal berdaya saing dan dinamik di peringkat global, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Titah baginda, kebanyakan negara maju menekankan STEM kerana ia meliputi setiap aspek kehidupan masyarakat dan menjadi penyumbang kepada kemajuan ekonomi masa hadapan.

"Peningkatan kecemerlangan pelajar STEM ke peringkat tertiari membantu menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam ciptaan dan inovasi baharu selain dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Untuk terus melonjakkan daya saing negara terutamanya di peringkat global, pendidikan STEM perlu terus diterokai," titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Karnival Syoknya STEM dan Inovasi Peringkat Kebangsaan 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Jejawi di sini, hari ini.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Izmi Ismail dan Guru Besar SK Jejawi, Zairi Bakar.

Program julung kali itu dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dengan kerjasama JPN Perlis dan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bioproses, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

-- BERNAMA