Kangar – Penanaman 82 batang pokok daripada pelbagai spesies telah dilaksanakan bersempena dengan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025.
Majlis simbolik penanaman pokok tersebut telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat ke acara anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Perlis itu.
Pokok yang ditanam terdiri daripada spesies meranti temak nipis (Anthoshorea roxburghii), merawan siput jantan (Hopea odorata) dan keruing belimbing (Dipterocarpus grandiflorus) yang merupakan antara jenis yang bernilai tinggi di Malaysia.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Encik Ag. Shaffie Ag. Ahmadni memaklumkan bahawa sebanyak lapan kempen penanaman pokok telah dijalankan setakat ini dan melibatkan sebanyak 460 peserta dari pelbagai sektor.
Beliau menyampaikan perkembangan tersebut kepada DYTM Raja Muda Perlis sewaktu program berlangsung di perkarangan Dewan Serbaguna Hutan Simpan Bukit Ayer.
Menurut beliau, Sebagai kesinambungan kepada usaha penghijauan ini, festival bertemakan pendidikan alam sekitar, iaitu Nakawan Rainforest Festival akan dianjurkan pada 29 Mei 2025 hingga 1 Jun 2025.
Penganjuran festival itu selaras dengan tema Hari Hutan Antarabangsa 2025, iaitu “Hutan dan Makanan” dan dijangka menghimpunkan lebih 500 orang peserta, termasuklah pelajar dan orang awam.
Antara aktiviti menarik yang dijadualkan adalah seperti Nakawan Rainforest Run, pertandingan tembak bebola cat (paintball), mencari harta karun, pertandingan bercerita dan pertandingan mewarna.
Perlis juga telah menjadi antara negeri terawal mencapai sasaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok apabila berjaya menanam sebanyak satu juta pokok pada 24 Mei 2024.
Setakat 22 Mei 2025, jumlah penanaman telah mencecah 1 039 759 di bawah Kempen Penghijauan Malaysia yang menyasarkan pemulihan kawasan hutan terpilih.
Majlis perasmian penutupan Nakawan Rainforest Festival dijadualkan berlangsung pada 1 Jun 2025 dan akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Bersempena dengan program tersebut, DYTM Raja Muda Perlis selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyempurnakan sumbangan kepada asnaf terpilih.
Sumbangan tersebut disalurkan menerusi program Kayuhan MAIPs Peduli yang dilaksanakan secara berkala untuk membantu golongan kurang berkemampuan.
Tiga orang penerima terpilih bagi siri kali ini ialah Puan Farah Azwanis Sharuden (35 tahun) dari Kampung Baru Sungai Batu Pahat, Puan Jamilah Abdullah (63 tahun) dari Jalan Abi Batu Pahat dan Puan Fazilah Abd Rahman (68 tahun) dari kampung yang sama.
Setiap penerima menerima wang tunai sebanyak RM700.00, kit MAIPs Peduli serta beras fidyah sebagai tanda keprihatinan MAIPs terhadap kesejahteraan komuniti.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia