Adat Melayu Tonggak Perpaduan, Generasi Muda Perlu Didedah Sejak Awal – Raja Muda Perlis

Adat Melayu Tonggak Perpaduan, Generasi Muda Perlu Didedah Sejak Awal – Raja Muda Perlis

PADANG BESAR, 28 Mac 2026 – Usaha mendidik dan menyedarkan generasi muda mengenai kepentingan adat dan nilai budaya Melayu perlu diperkasa secara menyeluruh sebagai asas perpaduan masyarakat dan kestabilan negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, adat istiadat Melayu bukan sekadar warisan nenek moyang, sebaliknya menjadi wadah penting yang mampu menyatukan umat serta menyokong keharmonian negeri.

Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Baginda menegaskan bahawa tanggungjawab memelihara dan memartabatkan adat tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan semua lapisan masyarakat.

“Institusi pendidikan, jabatan kerajaan, agensi pelaksana, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat awam perlu berganding bahu dalam memperkukuh kedudukan adat istiadat Melayu,” titah Baginda.

Baginda turut menekankan kepentingan memperindah hubungan antara adat dan agama Islam, di samping memperkasa peranan institusi Raja dalam sistem pemerintahan negeri.

Titah Baginda lagi, pendekatan tersebut mampu membina naratif baharu yang memperlihatkan bagaimana adat dan agama boleh berfungsi secara harmoni dalam menyokong pembangunan negeri Perlis, merangkumi aspek rohani, budaya dan pentadbiran.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs bagi aktiviti pengimarahan kepada Masjid Al-Furqan dan Masjid Al-Hasanah di Pekan Siam, Padang Besar, Thailand, baru-baru ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Sumbangan tersebut diadakan bersempena program MAIPs Peduli yang dilaksanakan di sekitar kawasan Pekan Siam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Masjid Al-Furqan diwakili Imam Walid Bensa-I, manakala Masjid Al-Hasanah diwakili Imam Haji Muhammadrusydi Harun.

Dalam lawatan sama, Baginda berdua turut meluangkan masa meninjau suasana Pasar Malam di pekan berkenaan.

Foto: MAIPs

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.