Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
25 JULAI 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan agar isu pemakanan bernutrisi tinggi diberikan perhatian serius, bukan sahaja oleh pihak pengurusan tadika, sekolah serta institusi pengajian tinggi dan ibu bapa, tetapi juga oleh pemain industri makanan, kulinari dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan serta pembangunan sosial di seluruh negeri Perlis.
Titah baginda, kesedaran mengenai kepentingan makanan berkhasiat dan seimbang masih perlu ditingkatkan, agar masyarakat tidak hanya mementingkan rasa dan kuantiti, tetapi turut mengambil kira impak terhadap kesihatan jangka panjang, terutama bagi kanak-kanak dan golongan pelajar.
“Sebagai contoh, jika terdapat ahli keluarga yang sedang dalam rawatan, maka pilihan makanan hendaklah disesuaikan dengan keperluan kesihatan mereka, bukan sekadar yang sedap dan mengenyangkan,” titah Tuanku Raja Muda Perlis lagi.
Baginda bertitah demikian menurut kenyataan MAIPs, semasa mengadakan lawatan ke ibu pejabat Solid Africa, sebuah NGO terkemuka di Kigali, Rwanda yang memperjuangkan isu sekuriti makanan dan akses pemakanan bernutrisi kepada golongan pesakit di hospital awam dan sekolah-sekolah serta masyarakat awam di negara tersebut.
TIGA HIDANGAN LENGKAP
Solid Africa kini menyediakan tiga hidangan lengkap setiap hari kepada lebih 1,500 pesakit di lima buah hospital kerajaan di Rwanda, menjadikan organisasi ini antara contoh terbaik dalam pendekatan pemakanan perubatan.
Sejak penubuhannya pada tahun 2010, mereka telah menyumbangkan lebih lima juta hidangan kepada hampir 600,000 penerima manfaat.
Delegasi baginda yang turut diiringi sama oleh Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail telah disambut oleh pengasas NGO berkenaan, Isabelle Kamariza.
Perbincangan turut menyentuh peranan pendidikan nutrisi, pertanian lestari dan latihan kemahiran dalam bidang pemakanan sihat yang semakin mendapat perhatian dalam usaha membentuk komuniti yang produktif.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyarankan agar konsep bantuan makanan bernutrisi yang diamalkan di Rwanda dapat diteliti sewajarnya untuk penyesuaian pelaksanaannya dengan konteks serta keperluan setempat di Perlis.
Tuanku Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis turut menzahirkan penghargaan kepada Solid Africa atas usaha berterusan mereka. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia