Dari Dewan Kuliah Ke Dataran Kawad, 1,885 Kadet PALAPES Menanti Detik Bergelar Pegawai Muda

Dari Dewan Kuliah Ke Dataran Kawad, 1,885 Kadet PALAPES Menanti Detik Bergelar Pegawai Muda

PAUH PUTRA, 28 Ogos 2026 – Di bawah terik matahari, hentakan kasut menyentuh dataran kawad dalam rentak yang sama. Arahan demi arahan bergema, sementara barisan pegawai kadet terus diperbetulkan sehingga setiap langkah, pusingan dan tabik mencapai keseragaman yang dituntut.

Bagi 1,885 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dari universiti awam seluruh negara, hari-hari terakhir di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ini bukan sekadar latihan kawad.

Mereka sedang menghitung hari menuju satu detik yang mungkin tidak akan dilupakan sepanjang hayat – berdiri di Dataran Kawad Baharu UniMAP pada 12 September depan untuk ditauliahkan sebagai Pegawai Muda.

Di sebalik pakaian seragam dan disiplin ketenteraan itu, mereka tetap mahasiswa yang menjalani kehidupan seperti rakan-rakan lain – menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan, menduduki peperiksaan dan mengejar segulung ijazah.

Bezanya, sebahagian perjalanan kehidupan kampus mereka turut dihabiskan di padang kawad, menjalani latihan fizikal dan ketenteraan serta belajar tentang disiplin, kepimpinan, ketahanan diri dan erti sebuah tanggungjawab.

Kini, perjalanan panjang itu semakin hampir ke kemuncaknya.
Proses pendaftaran rasmi dan Kem Fasa Akhir yang bermula 24 Ogos lalu menyaksikan Kampus Alam Pauh Putra berubah menjadi medan persiapan besar.

Latihan penyelarasan dilaksanakan secara intensif, taklimat pentadbiran berlangsung dan kawad kaki terus diperkemaskan bagi memastikan setiap pegawai kadet benar-benar bersedia untuk hari bersejarah itu.

Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Ke-44 Peringkat Kebangsaan kali ini menghimpunkan kadet daripada tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) – Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menjelang detik tersebut, Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan berangkat meninjau sendiri persiapan di Dataran Kawad Baharu dan Dewan Tuanku Canselor UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra.

Turut berangkat, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan anakanda puteri kedua Baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan Baginda disambut Panglima Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD), Mejar Jeneral Datuk Rashidin Hashimi Ab Rashid; Pengarah Pengurusan Latihan, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Fazly Mat Said serta Naib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Tinjauan itu memberi perhatian kepada persiapan akhir terutama latihan, penyelarasan pentadbiran dan kesiapsiagaan lokasi sebelum ribuan pegawai kadet serta keluarga mereka berkumpul di Pauh Putra.

Buat UniMAP, penganjuran kali ini juga mencipta sejarah tersendiri apabila universiti itu buat julung kalinya menjadi tuan rumah istiadat pentauliahan PALAPES peringkat kebangsaan di Perlis.

Padang serbaguna dan kawasan perbarisan khas dinaik taraf, manakala infrastruktur serta kemudahan sokongan diperkemaskan bagi menerima kontinjen, pegawai kanan, tetamu kenamaan dan ibu bapa dari seluruh negara.

Namun di sebalik segala persiapan besar itu, tumpuan akhirnya tetap kepada 1,885 anak muda yang bakal berdiri tegak di dataran kawad.

Bagi ibu bapa yang hadir nanti, mungkin yang mereka lihat bukan sekadar seorang Pegawai Muda dalam pakaian seragam.

Di hadapan mereka adalah anak yang pernah meninggalkan rumah untuk memasuki universiti, mengharungi kuliah dan peperiksaan, menahan penat menjalani latihan serta belajar bangkit setiap kali diuji.

Pada 12 September nanti, setiap hentakan kaki di Dataran Kawad Baharu UniMAP akan membawa bersama cerita perjalanan itu.

Dan apabila watikah tauliah berada dalam genggaman, berakhirlah satu perjalanan sebagai Pegawai Kadet – sebelum bermulanya sebuah tanggungjawab baharu sebagai Pegawai Muda.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.