Oleh: Sholina Osman
15 JUN 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa dasar sosial dan ekonomi negeri Perlis tidak boleh dipisahkan bagi memastikan kemajuan yang mampan.
Baginda menegaskan perkara tersebut sempena program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Datuk Jaafar Hassan, Kampung Sungai Padang, Simpang Empat baru-baru ini.
Menurut Tuanku Raja Muda, kestabilan sosial memberikan keyakinan kepada rakyat untuk meningkatkan kemahiran dan merebut peluang ekonomi baharu.
Pelaburan jangka panjang dalam perumahan awam kos rendah, pendidikan, dan persaraan berfungsi sebagai penstabil komuniti.
PERUMAHAN KOS RENDAH
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menambah bahawa perumahan kos rendah mesti direka sebagai ruang pembangunan komuniti terancang, bukannya projek fizikal semata-mata.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Baginda berdua, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Menyambut keberangkatan Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutuf MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Program Hijrah Minda tersebut merupakan antara inisiatif berterusan MAIPs dalam memperkukuh kefahaman agama, membina jati diri masyarakat serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan umat Islam di negeri ini.
AGIHAN ZAKAT MAIPs
Sempena majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM105,000 kepada 150 orang asnaf yang terdiri daripada 75 penerima dalam kalangan anak kariah Sungai Padang dan 75 lagi penerima daripada anak kariah Permatang Bongor.
Sumbangan tersebut diharapkan dapat membantu meringankan beban penerima serta meningkatkan kesejahteraan hidup golongan yang memerlukan, sejajar dengan komitmen MAIPs dalam memastikan kebajikan asnaf sentiasa diberi perhatian dan pembelaan sewajarnya.
Program Hijrah Minda ini turut menjadi platform penting dalam mendekatkan institusi agama dengan masyarakat, di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat melalui pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti setempat. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia