ARAU, 29 Ogos 2026 – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis menggariskan lima fokus utama bagi memperkukuh agenda pendidikan negeri termasuk memberi penekanan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
Pengarah Pendidikan JPN Perlis yang baharu, Haji Ishak Awang berkata, empat fokus lain ialah penguasaan asas literasi dan numerasi; pemerkasaan guru serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) berkualiti; pembentukan murid sejahtera secara holistik serta pengukuhan kolaborasi dan ekosistem pendidikan.
Perkara itu dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi mengadap di Bilik Mesyuarat, Galeri DiRaja Arau, baru-baru ini.
Ishak yang mula menjawat jawatan Pengarah Pendidikan JPN Perlis pada 10 Ogos lalu berkata, penguasaan asas literasi dan numerasi menjadi landasan penting bagi memastikan setiap murid memiliki kemahiran asas yang kukuh.
Menurutnya, penguasaan itu membolehkan murid mengikuti proses pembelajaran dengan lebih berkesan, sekali gus membina asas kepada pencapaian akademik yang lebih baik.
Beliau berkata, pemerkasaan guru dan peningkatan kualiti PdP juga akan terus diberi keutamaan bagi memastikan warga pendidik memiliki kompetensi, kesediaan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan dan keperluan pembelajaran semasa.
“JPN Perlis turut memberi penekanan terhadap penguasaan STEM, TVET, teknologi digital dan AI sebagai antara bidang penting dalam mempersiapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran serta keupayaan yang relevan untuk menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Penekanan itu juga penting bagi memastikan murid bersedia menghadapi kemajuan teknologi serta perubahan keperluan dunia pekerjaan.
Dalam pada itu, usaha membentuk murid sejahtera secara holistik akan merangkumi pembangunan akademik, sahsiah, emosi, sosial dan kemahiran insaniah.
Pendekatan itu bertujuan melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah mempunyai jati diri, daya tahan serta kemampuan menyesuaikan diri dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
Ishak berkata, JPN Perlis juga akan memperkukuh jaringan kerjasama membabitkan sekolah, ibu bapa, komuniti, agensi kerajaan, sektor swasta serta pelbagai pihak berkepentingan.
Ia termasuk kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dalam usaha membentuk ekosistem pendidikan yang inklusif, dinamik serta responsif terhadap keperluan murid.
Pendekatan menyeluruh itu diyakini mampu memastikan pembangunan pendidikan Perlis terus dipacu secara tersusun, bersepadu dan berkesinambungan, sekali gus melahirkan generasi berkualiti yang bersedia menghadapi tuntutan dunia semakin kompleks.
Turut hadir pada sesi mengadap berkenaan ialah Timbalan Pengarah Pendidikan (Perancangan) JPN Perlis, Haji Che Rasaidi Che Yob.