Oleh: Sholina Osman
18 NOV. 2025
Kejohanan Golf Piala Ketua Polis Perlis 2025 berlangsung dengan penuh meriah di Kelab Golf Putra (KGP), Sungai Batu Pahat, Kangar, menghimpunkan para pemain daripada pelbagai agensi serta rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Acara ini bukan sahaja menjadi pentas menonjolkan bakat dan kemahiran dalam sukan golf, malah turut memperkukuh hubungan antara agensi keselamatan, jabatan kerajaan dan komuniti setempat.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis penyampaian hadiah utama kejohanan tersebut dan turut diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Presiden Kelab Golf Putra Perlis.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim.
KATEGORI VVIP, TERBUKA
Pelbagai kategori dipertandingkan termasuk Kategori VVIP, Terbuka dan Novelties.
Dalam Kategori VVIP, Prof Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor muncul juara.
Bagi Kategori Terbuka, Alif Ikhwan mengungguli Open Medal A dan Zurie Affendy Abdul Mutalib dinobatkan sebagai Juara Open Medal B, manakala Rohamizan Abd Rahim memenangi tempat pertama bagi Kategori Medal Penjawat Awam.
MEMENANGI LONGEST DRIVE
Sorotan bagi kategori Novelties pula menyaksikan Sharieman Awang Ludin memenangi Longest Drive, Aniq Isyraf Ahmad Jazree meraih gelaran Nearest to Pin dan Ikhsan Isham pula memenangi Nearest to Line.
Sesi penyampaian hadiah disempurnakan oleh Muhammad, disusuli penyampaian cabutan bertuah sebagai tanda penghargaan kepada para peserta yang telah memeriahkan kejohanan.
Acara ini bukan sahaja menjadi platform persaingan sihat, malah terus mengukuhkan ukhuwah, semangat setiakawan dan jalinan kerjasama dalam kalangan warga PDRM serta rakan strategiknya. – JM