23 Februari 2026. Paris, Perancis. Sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini, Kedutaan Besar Malaysia, Paris akan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan bulan yang mulia dalam kalangan rakyat Malaysia di perantauan serta komuniti Islam setempat.
Antara program yang dirangka sepanjang Ramadan termasuk Program Ihya’ Ramadan, Program Infaq kepada masjid-masjid sekitar Paris, Majlis Berbuka Puasa bersama pelajar-pelajar Malaysia serta aktiviti tadarus al-Quran yang akan diadakan secara berkala.
Program-program ini bukan sahaja menyemarakkan suasana Ramadan dalam kalangan diaspora Malaysia, malah mengukuhkan hubungan erat dengan komuniti Islam tempatan di kota raya berkenaan.
Bagi menyambut Syawal pula, pihak Kedutaan akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama rakyat Malaysia di Paris. Penganjuran rumah terbuka itu menjadi platform penting untuk mempereratkan silaturahim, memupuk semangat muhibah serta menampilkan keindahan budaya dan tradisi Malaysia kepada masyarakat setempat.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dikongsikan oleh Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam majlis tersebut, Datuk Eldeen Husaini menerima simbolik sumbangan ‘Bantuan Ibnu Sabil’ berjumlah RM5,000 bagi pihak Kedutaan Besar Malaysia di Paris daripada MAIPs. Penyerahan disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda selaku Yang Dipertua MAIPs.
Turut berangkat ialah anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Mengiringi majlis ialah Setiausaha Pertama Mohd Nizam Halimi dan Setiausaha Kedua Aida Anum Aminuddin.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab berterusan MAIPs dalam melaksanakan agihan Tabung Ibnu Sabil di luar negara melalui beberapa pejabat perwakilan Malaysia terpilih. Sumbangan tersebut bertujuan membantu rakyat Malaysia di Perancis yang berdepan situasi kecemasan, terputus sumber sara diri atau terkandas untuk kembali ke tanah air atau meneruskan perjalanan.
Menurut Datuk Eldeen Husaini, MAIPs juga berhasrat untuk terlibat sama dengan Kedutaan dalam program Infaq kepada masjid-masjid sekitar Paris pada Ramadan kali ini atau tahun hadapan menerusi inisiatif “From Perlis To Paris” dengan kerjasama penyumbang serta rakan strategik yang berminat.
Langkah ini sekali gus memperlihatkan peranan aktif institusi Islam negeri dalam memperluas jaringan kebajikan di peringkat antarabangsa, selain memperkukuh imej Malaysia sebagai negara yang prihatin terhadap kebajikan rakyatnya walau di mana berada.
Foto: Kredit Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia