MAIPs Sumbang RM4,000 Kepada Masjid Les Abeilles, Raja Muda Perlis Pelawa Pelabur Perancis Teroka Potensi Perlis

MAIPs Sumbang RM4,000 Kepada Masjid Les Abeilles, Raja Muda Perlis Pelawa Pelabur Perancis Teroka Potensi Perlis

23 Februari 2026. Paris, Perancis. Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah sudah tiba masanya negeri Perlis membuka peluang pelaburan kepada usahawan Perancis yang sedang giat mencari ruang baharu di pasaran Asia Tenggara, khususnya Malaysia.

Menurut baginda, antara sektor strategik yang boleh diterokai bersama di Perlis ialah pertanian moden, pendidikan berkualiti tinggi serta teknologi hijau yang selari dengan agenda pembangunan mampan global.

Titah tersebut dizahirkan selepas baginda berkenan menyerahkan sumbangan kecil berjumlah RM4,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Masjid Les Abeilles di sini, sempena bulan Ramadan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Yang Dipertua MAIPs memaklumkan bahawa pihaknya terpanggil untuk menyokong program infaq kepada masjid-masjid sekitar Paris yang diinisiatifkan oleh Kedutaan Besar Malaysia, Paris bersama komuniti Islam di kota raya itu.

Sumbangan berkenaan diterima oleh Imam Benerruoa Jamal dan Imam Assougdam Said bagi pihak Masjid Les Abeilles.

Turut mengiringi baginda ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, Setiausaha Pertama Mohd Nizam Halimi dan Setiausaha Kedua Shahidanshakir Abdul Wahab.

Datuk Eldeen Husaini berkata, penyerahan sumbangan bertemakan “From Perlis To Paris” itu mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkukuh ukhuwah serta menyokong kebajikan masyarakat Islam di peringkat antarabangsa.

“Sumbangan ini pasti dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kebajikan ahli kariah dan golongan yang memerlukan di Masjid Les Abeilles,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia–Kesatuan Eropah pada tahun 2025 telah melebihi €630 bilion, sekali gus mencatat rekod baharu dan mencerminkan prestasi kukuh Malaysia dalam landskap pasaran global yang semakin mencabar.

Eksport Malaysia ke Kesatuan Eropah menunjukkan peningkatan ketara, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), produk berasaskan minyak sawit serta peralatan pengangkutan. Pencapaian ini membuktikan keupayaan Malaysia untuk kekal berdaya saing, inovatif dan terbuka kepada perdagangan antarabangsa.

Bagi pembeli dan pemain industri Perancis, trend tersebut mencerminkan realiti bahawa Malaysia telah berakar kukuh dalam rantaian bekalan global dan berada pada kedudukan strategik untuk memenuhi permintaan Eropah terhadap komponen, peralatan serta produk pembuatan bernilai tinggi.

Sehubungan itu, Kedutaan Besar Malaysia di Paris akan memperkenalkan negeri Perlis, khususnya Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), kepada pelabur Perancis yang berhasrat mengembangkan perniagaan di Malaysia.

Dalam sektor pendidikan pula, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan dihubungi untuk mempertimbangkan permohonan calon mahasiswa dari universiti-universiti Perancis yang berminat menyertai program pertukaran pelajar jangka pendek di Perlis dalam masa terdekat.

Selain itu, MAIPs melalui Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) turut menawarkan peluang pengajian kepada komuniti Muslim luar negara termasuk Perancis menerusi program berteraskan konsep Applied Sunnah yang menjadi ciri unik institusi berkenaan.

Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik dan keagamaan, malah membuka lembaran baharu kerjasama ekonomi dan pendidikan antara Perlis dan Perancis, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk memperluas jaringan strategik di peringkat global.

Foto: Kredit Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.