Para pelajar perlu perkukuh kemahiran sosial bagi menjalin hubungan baik – Raja Muda Perlis

Para pelajar perlu perkukuh kemahiran sosial bagi menjalin hubungan baik – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
4 JULAI 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar para pelajar yang merupakan aset masa depan negeri dan negara perlu melengkapkan diri dengan pelbagai lapangan ilmu dan cara berfikir kelas pertama serta menjadikan kemahiran sosial sebagai satu cara untuk menjalin hubungan baik.

Baginda bertitah, pada era globalisasi dan teknologi serba moden ini, kemahiran sosial memainkan peranan yang penting.

Di sekolah kemahiran ini membantu untuk menjalin hubungan yang baik dengan rakan sebaya, guru dan warga sekolah.

Suasana di dalam kelas akan lebih menyenangkan dan harmoni apabila para pelajar dapat bekerjasama, bertoleransi dan berempati serta dapat meningkatkan semangat untuk belajar.

SEHARUSNYA TERUS BERUSAHA

“Para pelajar seharusnya terus berusaha memperkukuhkan kemahiran sosial,” titah Baginda.

Titah Baginda, hargai guru-guru, sahabat-sahabat dan sentiasa menunjukkan sikap positif dalam setiap interaksi.

“Jalinlah hubungan baik sama ada di rumah, sekolah mahupun warga setempat agar dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang aman dan harmoni”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2025 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Besar Utara.

Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

BAGINDA BERDUA DISAMBUT

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Pengetua sekolah, Zulkhibri Hussein.

Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus serta penyelaras dari Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini melibatkan seramai 252 pelajar, terdiri daripada 139 pelajar lelaki dan 113 pelajar perempuan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 sekolah berkenaan, dalam usaha menyemai nilai kasih sayang, jati diri dan kecemerlangan diri dalam kalangan pelajar.

Zulkhibri dalam ucapan aluannya turut berkongsikan beberapa pencapaian sekolah yang membanggakan antaranya, seorang pelajar sekolah ini telah berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dengan 8A dan keputusan keseluruhan menunjukkan peningkatan gred purata sekolah dari 5.65 kepada 5.51 serta terdapat subjek mengalami lonjakan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) yang membanggakan.

TERUS MENCIPTA KEMENANGAN

Pelajar-pelajar sekolah ini terus mencipta kecemerlangan dalam bidang kokurikulum di pelbagai peringkat.

Antaranya, Nur Amalin Sofiya Mohd Radzi telah terpilih mewakili Negeri Perlis ke Perkhemahan Kadet Remaja Sekolah (KRS) Peringkat Kebangsaan.

Shahril a/l Long Jamal pula berjaya dipilih sebagai salah seorang daripada 10 wakil Perlis ke Simposium PRS Kebangsaan di Kuala Lumpur.

Dalam bidang akademik berasaskan kokurikulum, Nur Qistina Batrisyia Mazlan telah muncul sebagai Johan Pertandingan Pembaca Bestari Bahasa Inggeris dan seterusnya mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

Tidak ketinggalan, pasukan robotik SMK Padang Besar Utara mencatatkan kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Johan kategori Menengah Atas (Robomission Rookie), melayakkan mereka ke National Robotic Challenge di Cyberjaya pada bulan September ini.

Pasukan Menengah Rendah juga tidak kurang hebatnya apabila meraih tempat kedua dan kelima dalam pertandingan yang sama.

Dalam arena sukan pula, pelajar SMK Padang Besar Utara terus mengukir nama melalui Nur Anis Qistina Mohamad Azrim telah berjaya mewakili Negeri Perlis ke peringkat kebangsaan dalam sukan softball.

Dalam Kejohanan Merentas Desa Peringkat Negeri Perlis 2025 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan LKTP Chuping, sekolah tersebut telah dilantik sebagai AJK Kepegawaian dan berjaya membawa pulang dua pingat.

Selain itu, dalam kategori P19 Pendidikan Khas, pasukan sekolah turut meraih pingat kemenangan.

Pengetua SMK Padang Besar Utara itu percaya bahawa segala pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang ini adalah hasil usaha gigih warga pendidik, sokongan ibu bapa dan semangat kental para pelajar yang menjadikan pendidikan sebagai wadah untuk membina masa depan cemerlang seiring dengan aspirasi Tuanku Raja Muda Perlis untuk melahirkan rakyat yang berilmu, berakhlak dan berwibawa.

Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan Perasmian Bengkel Penyediaan dan Pembuatan Makanan, yang mengetengahkan kemahiran asas dalam dunia kulinari.

Antara modul yang dipelajari termasuklah ‘Cooking Technique’, penyediaan sarapan ‘Breakfast Production’ dan pembuatan pencuci mulut ‘Dessert Production’, melibatkan penyertaan seramai 3 orang guru dan 11 orang murid. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.