Oleh: Sholina Osman
Foto: YTSP Perlis
10 MEI 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar golongan pelajar sentiasa mengurus emosi dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan dalam menghadapi tekanan peperiksaan serta cabaran akademik.
Baginda menegaskan bahawa kawalan emosi yang baik merupakan kunci utama untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih harmoni, tenang dan kondusif.
Raja Muda juga turut menyeru agar pelajar memperkasa minda dengan ilmu pengetahuan serta kebijaksanaan akal.
Ilmu, menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, perlu dijadikan sebagai pelita yang menyuluh perjalanan pendidikan supaya setiap keputusan dan tindakan sentiasa berpaksikan kematangan, kebenaran dan kreativiti.
TITIAN KASIH MEGA
Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat menyempurnakan Program Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ali Ahmad, Kangar baru-baru ini.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengetua Sekolah, Maslisa Alwi.
Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Che Rasaidi Che Yob, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra, Datuk Johari Mohd Darus, dan Ketua Penyelaras Program Titian Kasih, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
284 ORANG PELAJAR
Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri ini melibatkan seramai 284 orang pelajar tingkatan satu hingga tiga, terdiri daripada 149 pelajar lelaki dan 135 pelajar perempuan.
Dalam ucapannya, Pengetua SMK Dato’ Ali Ahmad memaklumkan bahawa keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terkini menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila Gred Purata Sekolah (GPS) berjaya diturunkan kepada 4.92 berbanding 5.03 pada tahun sebelumnya, sekali gus meletakkan sekolah ini antara sekolah harian biasa berprestasi tinggi dengan GPS di bawah paras 5.0.
Pencapaian SPM 2025 turut mencatatkan kelulusan 100 peratus bagi beberapa mata pelajaran utama termasuk Bahasa Melayu, Fizik, Kimia, Biologi, Prinsip Perakaunan, Perniagaan serta mata pelajaran vokasional seperti Kimpalan Arka dan Gas serta Produksi Multimedia.
Seramai empat pelajar turut mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperoleh 8A daripada sembilan mata pelajaran, menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.
PELBAGAI PROGRAM INTERVENSI
Seiring dengan itu, pihak sekolah terus komited melaksanakan pelbagai program intervensi bagi memastikan pelajar Tingkatan 5 bersedia sepenuhnya menghadapi peperiksaan SPM akan datang.
Dalam bidang kokurikulum pula, pencapaian Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) turut menunjukkan peningkatan positif apabila GPS meningkat daripada 1.90 pada tahun 2024 kepada 1.79 pada tahun 2025.
Pelbagai peluang terus disediakan kepada pelajar untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum.
“Beberapa pelajar sekolah ini berjaya mengharumkan nama negeri Perlis di peringkat kebangsaan melalui penyertaan dalam pelbagai bidang seperti tenpin boling, kriket, olahraga PPKI, taekwondo, Pertandingan Dai Pena Muda serta Kadet St. John Ambulans. Pihak sekolah optimis kecemerlangan ini akan terus diperkukuh pada masa hadapan”, tambah beliau.
SEBUAH RUANG INSPIRATIF
Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Hentian A.K.R.A.B, sebuah ruang inspiratif yang direka untuk memperkasa pembangunan holistik murid.
Ruang ini menyemai motivasi melalui persekitaran yang ceria dan kondusif, merangsang kreativiti dengan elemen hijau serta warna-warni, selain menyediakan Pentas Bakat bagi mencungkil potensi pelajar dalam aktiviti seperti pengucapan awam dan persembahan santai.
Hentian ini juga berperanan sebagai alternatif pembelajaran di luar bilik darjah serta menggalakkan gaya hidup aktif melalui persekitaran terbuka yang menyokong pergerakan fizikal murid, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi intelek, emosi dan jasmani. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia