Pelan Strategik MAIPs 2026–2030 Pacu Pembangunan Ummah Secara Mampan – Raja Muda Perlis

Pelan Strategik MAIPs 2026–2030 Pacu Pembangunan Ummah Secara Mampan – Raja Muda Perlis

KANGAR, 23 April 2026 — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa Pelan Strategik Bersasar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis bagi tempoh 2026–2030 merupakan komitmen besar dalam memperkukuh peranan institusi zakat sebagai pemangkin pembangunan asnaf, pembangunan insan serta kemajuan negeri Perlis secara menyeluruh.

Baginda bertitah, pelan strategik tersebut menggariskan misi dan perancangan masa hadapan MAIPs yang jelas, tersusun serta berfokus, sekali gus menjadi landasan penting dalam memperkasa kesejahteraan ummah di negeri ini.

Namun demikian, baginda menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan pelan itu memerlukan komitmen tinggi semua pihak, selain didukung oleh tenaga kerja yang berdaya saing serta kedudukan kewangan yang mampan.

“Semua pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan sukarelawan perlu berganding bahu bersama MAIPs dalam menghadapi cabaran bagi memastikan kejayaan pelan ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Program Jerayawara Pelan Strategik Bersasar MAIPs 2026–2030 di Kompleks Seri Putra, di sini.

Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Pelan Strategik Bersasar MAIPs 2026–2030 merupakan kerangka hala tuju baharu yang dirangka bagi memperkukuh pembangunan ummah melalui pendekatan lebih mampan dan inklusif.

Antara fokus utama pelan tersebut ialah peningkatan keberkesanan program dan ketelusan, pembangunan pendidikan Islam, pemerkasaan ekonomi serta kebajikan, selain inovasi dalam tadbir urus institusi.
Sempena program itu, turut diadakan pembentangan impak pelan strategik berkenaan bersama asatizah dan sukarelawan MAIPs, selain sesi tausiyah oleh Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.