Pelancaran Logo Rasmi WCWC 2026 Perkukuh Kesiapsiagaan Perlis Sebagai Tuan Rumah Kejohanan Dunia

Pelancaran Logo Rasmi WCWC 2026 Perkukuh Kesiapsiagaan Perlis Sebagai Tuan Rumah Kejohanan Dunia

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Perlis melakar satu lagi detik penting dalam persiapan menjelang Kejohanan Piala Dunia Woodball Ke-10 (10th World Cup Woodball Championship 2026) apabila logo rasmi kejohanan itu dilancarkan dalam satu majlis di Hotel Mandarin Oriental, di sini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung Diraja Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran logo rasmi kejohanan tersebut.

Turut hadir Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin.

Menurut Kamarudin, logo bertemakan “One World, One Woodball” itu membawa aspirasi menyatukan komuniti dunia menerusi semangat kesukanan, persahabatan dan persefahaman sejagat.

Katanya, reka bentuk logo menampilkan Negeri Perlis sebagai pentas pertemuan atlet dari seluruh dunia, sekali gus mencerminkan nilai perpaduan, profesionalisme, integriti dan kecemerlangan yang menjadi asas kepada penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa.

“Pelancaran logo ini bukan sekadar memperkenalkan identiti rasmi kejohanan, malah menjadi manifestasi komitmen Perlis dan Malaysia dalam menganjurkan temasya woodball bertaraf dunia.

“Ia turut memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi penganjuran sukan antarabangsa, di samping mengeratkan hubungan serta memupuk semangat persahabatan dalam kalangan komuniti woodball global,” katanya.

Majlis tersebut turut menandakan kesiapsiagaan Negeri Perlis sebagai tuan rumah Kejohanan Piala Dunia Woodball Ke-10 yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 30 Julai 2026, dengan penyertaan dijangka melibatkan 13 negara.

Kejohanan itu akan dianjurkan serentak dengan Kejohanan Woodball Antarabangsa Terbuka Malaysia Ke-26 2026 di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.

Penganjuran kedua-dua kejohanan berprestij itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWbF), Persekutuan Woodball Asia (AWBF), Persatuan Woodball Malaysia (MWA) dan Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) dalam memperkukuh pembangunan sukan woodball di peringkat antarabangsa.

Simbolik logo
Logo WCWC 2026 mengetengahkan beberapa elemen utama yang mencerminkan identiti penganjur serta aspirasi kejohanan.

Perkataan “PERLIS” menggunakan warna kuning dan biru yang melambangkan negeri tuan rumah dengan nilai kemegahan, perpaduan dan kestabilan.

Perkataan “MALAYSIA” pula menggambarkan negara penganjur yang mengalu-alukan penyertaan atlet dari seluruh dunia dengan semangat profesionalisme dan keramahan.

Angka “2026” direka dalam gaya moden dengan pelbagai warna sebagai simbol kepelbagaian budaya, perpaduan serta perkembangan sukan woodball.

Keunikan logo turut terserlah menerusi angka “6” yang diinspirasikan daripada burung Woodpecker, melambangkan ketekunan, ketahanan dan semangat juang. Jambul merah menggambarkan keberanian, mata besar melambangkan fokus serta ketelitian, manakala paruh kuning membawa maksud keyakinan dan persahabatan.

Tulisan “World Cup Woodball” pula menggunakan gabungan warna yang melambangkan penyatuan masyarakat antarabangsa melalui semangat kesukanan, keamanan dan persahabatan, manakala perkataan “Championship” mencerminkan integriti, profesionalisme dan standard tinggi sebuah kejohanan bertaraf dunia.

Makna warna
Setiap warna yang digunakan dalam logo turut membawa mesej tersendiri:

Kuning – Kedaulatan, kecemerlangan dan identiti Negeri Perlis.
Biru – Perpaduan, keamanan dan profesionalisme.
Merah – Keberanian, semangat juang dan keazaman.
Hijau – Kelestarian, keseimbangan serta alam semula jadi.
Ungu – Prestij dan martabat kejohanan dunia.
Jingga – Kreativiti, inovasi dan tenaga positif.
Biru Muda (Cyan) – Harapan, keterbukaan dan perpaduan global.
Kelabu – Integriti, kestabilan dan tadbir urus yang cemerlang.

Pelancaran logo rasmi ini menjadi satu lagi langkah penting dalam mempromosikan Perlis sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam kalendar penganjuran sukan dunia.

Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.