Oleh: Sholina Osman
6 OKT. 2025
Pemain asal Korea, Kyoungwon Park muncul juara kategori Wanita dalam ’19th Perlis Amateur Golf Open 2025′ yang berlangsung di Kelab Golf Putra (KGP) Perlis, Sungai Batu Pahat, Kangar.
Kejohanan Perlis Amateur Open yang dianjurkan saban tahun ini terus menjadi platform penting dalam memperkukuh pembangunan sukan golf di Negeri Perlis.
Ia bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat antara pemain tempatan dan luar negeri, malah turut berperanan sebagai wadah mencungkil bakat-bakat baharu serta meningkatkan mutu dan prestasi permainan di peringkat negeri dan juga kebangsaan.
MENYEMPURNAKAN MAJLIS PENYAMPAIAN
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat hadir bagi menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan 19th Perlis Amateur Open 2025 yang disertai 61 peserta tersebut.
Edisi kali ini turut mempertandingkan beberapa kategori termasuk Senior, VIP, Lelaki Intermediate A, Lelaki Intermediate B, dan Lelaki Gross.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Presiden Kelab Golf Putra Perlis turut berkenan menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang utama iaitu johan-johan terdiri daripada kategori Senior iaitu Mohd Zukri Mohd Zain, VIP Norhelme Abd Hamid, Lelaki Intermediate Kategori A, Alif Ikhwan Japri, Lelaki Intermediate Kategori B, Mohd Norman Haikal, dan kategori Gross, Nor Haqeim Nor Hadi.
MENPERLIHATKAN SOKONGAN PADU
Syarikat Air Perlis (SAP) tampil sebagai penaja utama bagi edisi kali ini, sekaligus memperlihatkan sokongan padu sektor korporat terhadap pembangunan sukan golf di negeri ini.
Kejohanan berprestij ini sekali lagi membuktikan komitmen berterusan Kelab Golf Putra (KGP) Perlis bersama pelbagai pihak berkepentingan dalam memperkukuh budaya sukan serta memperkasa Perlis sebagai destinasi sukan baru bertaraf nasional. – JM