Perlis Berpotensi Muncul Hab Kerjasama Malaysia–Australia dalam Pertanian Moden, Logistik dan Makanan

Perlis Berpotensi Muncul Hab Kerjasama Malaysia–Australia dalam Pertanian Moden, Logistik dan Makanan

KUALA PERLIS, 20 Januari 2026 — Perlis berpotensi muncul sebagai lokasi strategik baharu bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Australia, khususnya dalam sektor pertanian moden, logistik serta pembuatan makanan bernilai tambah, sejajar agenda pembangunan mampan yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.

Perkara itu dikongsikan oleh Danielle Heinecke, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika mengiringi Baginda dalam Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kuala Perlis.

Menurut beliau, Perlis mempunyai kedudukan strategik serta potensi pertumbuhan jangka panjang yang memberangsangkan untuk dimanfaatkan secara bersepadu bersama kepakaran Australia, khususnya dalam pembangunan pertanian moden berteknologi tinggi, pengukuhan rantaian logistik sebagai pemacu ekonomi masa hadapan, serta pembuatan makanan bernilai tambah yang menggabungkan kepakaran antarabangsa dengan bahan mentah dan tenaga kerja tempatan.

Dalam masa terdekat, Suruhanjaya Tinggi Australia melalui Bahagian Pertaniannya berhasrat menjalin kerjasama dengan negeri Perlis dalam pelaksanaan program kawalan makhluk perosak (pest control) bagi tanaman mangga, sebagai langkah meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil pertanian tempatan.

Danielle Heinecke turut menzahirkan kekaguman terhadap usaha bersungguh-sungguh serta komitmen tinggi yang dicurahkan oleh Tuanku Raja Muda Perlis dalam membangunkan hab komuniti dan pelbagai inisiatif pembangunan di Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis. Inisiatif berimpak ini digerakkan dengan kerjasama padu MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, pelbagai agensi, sektor swasta, individu serta masyarakat setempat.

“Usaha yang dilaksanakan dengan sepenuh hati dan jiwa itu telah berjaya mengubah wajah perkampungan berkenaan menjadi sebuah komuniti yang luar biasa, bukan sahaja dari segi fizikal, malah dari aspek sosial dan kebersamaan masyarakat,” katanya.

Sempena program kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Jaslin Jaafar, 56, dari Kampung Tengah; Hamidah Kamis, 62, dari Kampung Hujung Tanjung; serta Rus Abdullah, 70, dari Kampung Seberang Alor. Majlis itu disaksikan oleh Danielle Heinecke, yang turut diiringi Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, Angela Rendall.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.