Perlis Perlu Keluar daripada Status Negeri Transit, Jadi Destinasi Pilihan Pelancong Thailand – Raja Muda Perlis

Perlis Perlu Keluar daripada Status Negeri Transit, Jadi Destinasi Pilihan Pelancong Thailand – Raja Muda Perlis

BANGKOK, 24 Jun 2026 – Perlis perlu bertindak lebih agresif bagi mengubah kedudukannya daripada sekadar negeri transit kepada destinasi pelancongan utama khususnya bagi warga Thailand dari wilayah selatan negara jiran itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha bersepadu melibatkan kerajaan, agensi pelancongan dan pemain industri perlu digerakkan menerusi tiga strategi utama bagi memastikan pelancong asing bukan sahaja singgah, malah bermalam dan berbelanja di negeri tersebut.

Menurut baginda, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah mewujudkan sistem tiket bersepadu yang menggabungkan perkhidmatan kereta api Thailand dan Malaysia (SRT/ETS), van sempadan serta pengangkutan domestik di Perlis bagi memudahkan pergerakan pelancong dari pintu masuk utama seperti Padang Besar dan Wang Kelian.

“Kerjasama strategik juga perlu diperkukuh antara pemain industri pelancongan Perlis dengan agensi pelancongan di selatan Thailand seperti Hat Yai, Songkhla dan Satun menerusi pakej khas yang menggalakkan pelancong bermalam di Perlis sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa sukan boleh dijadikan medium efektif untuk menarik pelancong rentas sempadan kerana tidak terikat kepada faktor bahasa dan budaya.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah penganjuran acara tahunan seperti Marathon Antarabangsa Perlis-Thailand, kayuhan basikal rentas sempadan serta pelbagai aktiviti sukan lasak termasuk motocross dan larian denai di kawasan berbukit di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Titah tersebut disampaikan sempena Program Promosi Masakan Perlis yang berlangsung di Kaitod Decha Fried Chicken di Bangkok.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta puteri-puteri baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut hadir menyambut keberangkatan baginda ialah pemilik restoran, Arita Laetee bersama suaminya, Wongsakorn Kaewloy. Restoran halal itu merupakan salah satu cawangan kumpulan restoran Bang Loh Kai Tod Decha yang terkenal di Hat Yai.

Hadir sama mengiringi delegasi Perlis ialah Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan isteri, Datin Zuhaila Abd Latif, selain wakil Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) serta Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

Program promosi tersebut menampilkan hidangan tradisional terkenal negeri Perlis iaitu Kurma Daging Perlis yang terkenal dengan penggunaan rempah ratus terpilih, tekstur daging yang lembut serta kuah pekat beraroma, menjadikannya antara menu istimewa dalam majlis keraian masyarakat negeri itu.

Titah Raja Muda Perlis itu dilihat selari dengan usaha memperkukuh kedudukan Perlis sebagai pintu masuk pelancongan sempadan dan hab pelancongan baharu di utara Semenanjung, sekali gus merancakkan ekonomi tempatan menerusi peningkatan kehadiran pelancong dari Thailand.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.