Puteri Sulung Raja Muda Perlis Seru Pemulihan Menyeluruh Pasca Banjir di Wang Kelian

Puteri Sulung Raja Muda Perlis Seru Pemulihan Menyeluruh Pasca Banjir di Wang Kelian

WANG KELIAN, 14 Disember 2025 – Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru seluruh rakyat serta agensi berkaitan agar segera bangkit selepas musibah banjir dengan melaksanakan usaha pemulihan secara menyeluruh dan bersepadu demi kesejahteraan masyarakat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah bahawa musibah banjir yang melanda merupakan satu ujian besar yang memberi kesan luas terhadap kehidupan rakyat, khususnya dari segi keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan emosi.

Sehubungan itu, mangsa-mangsa yang terjejas diseru agar terus mencari kekuatan, sama ada dari sudut kewangan mahupun sokongan emosi, bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup serta membina semula kehidupan pasca bencana.

Dalam masa yang sama, Sharifah Khatreena Nuraniah turut menegaskan peranan penting agensi-agensi berkaitan untuk bertindak dengan pantas, cekap dan berkesan dalam memulihkan infrastruktur awam yang rosak atau terjejas akibat banjir. Usaha pemulihan ini amat penting bagi menjamin keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan rakyat setempat.

Seruan tersebut dizahirkan ketika keberangkatan puteri sulung Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis berkenan menyantuni mangsa banjir di Kariah Wang Kelian menerusi program ziarah kebajikan, yang turut menyaksikan penyampaian sumbangan hasil kerjasama rakan-rakan beliau bersama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Keberangkatan ini mencerminkan keprihatinan berterusan Institusi Diraja Perlis terhadap kebajikan rakyat yang diuji dengan bencana alam, selaras dengan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial.

Turut mengiringi keberangkatan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Beseri, Haziq Asyraf, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta Imam Masjid Nurul Husna Wang Kelian, Noorhamizi Mohd Yaacob.

Dalam suasana penuh keinsanan dan empati, Sharifah Khatreena Nuraniah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir serta menzahirkan rasa simpati dan kata-kata perangsang agar mereka terus tabah, sabar dan tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan.

Penduduk setempat menyambut keberangkatan berkenaan dengan penuh rasa terharu serta menjunjung kasih atas keprihatinan yang dizahirkan, yang bukan sahaja membantu meringankan beban keperluan asas, malah menyuntik kekuatan moral dan semangat kebersamaan dalam usaha pemulihan pasca banjir.

Program tersebut diharap dapat menyumbang kepada pemulihan jangka pendek dan panjang serta mengukuhkan kerjasama antara institusi, agensi dan masyarakat dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.