Oleh: Sholina Osman
3 Mei 2025.
Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025/1445H kali ini menyaksikan qari dari Perak Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi dari Terengganu dinobatkan sebagai johan bagi kategori masing-masing.
Dengan kemenangan ini membolehkan keduanya membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji berserta piala, cenderamata dan sijil penyertaan.
Hadiah sampingan lain yang diterima adalah satu dinar emas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Gold dan telefon pintar dari kerajaan negeri serta kurniaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Juara keseluruhan pula disandang oleh Kedah.
HAFAZAN 30 JUZUK
Manakala bagi kategori hafazan 30 juzuk berserta tafsir, Muhammad Adib Ahmad Rozaini dari Perak dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif dari Kelantan pula diumum sebagai pemenang.
Selain itu, Muhammad Imran Hussin dari Selangor meraih tempat pertama untuk kategori hafazan 20 juzuk bagi bahagian lelaki manakala bahagian wanita disandang Siti Khadijah Anuar dari Selangor.
Bagi kategori hafazan 10 juzuk berserta taranum pula, johan kategori lelaki disandang Mohamad Khayruddin Zakwan Jaimis dari Sabah manakala Shashahani Irdina Shamsul Rizal dari Selangor pula johan kategori wanita.
Sementara itu, Raja Perlis berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan tilawah di Dewan 2020 Kangar malam semalam.
Berkenan berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua Baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia