KIGALI, 22 Julai 2025 – Nilai integriti dan semangat patriotik dikenal pasti sebagai teras utama kejayaan sesebuah negara menuju kemajuan dan daya saing global, demikian tumpuan utama lawatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke Kigali, Rwanda sempena program Safar Ilmi MAIPs 2025.
Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, bersama delegasi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) termasuk Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Lawatan rasmi ini merangkumi sesi libat urus dengan tiga agensi utama kerajaan Rwanda: Rwanda Governance Board (RGB), Rwanda Development Board (RDB) dan Rwanda TVET Board (RTB).
RGB, yang diwakili oleh Setiausaha Agung Edward Kalisa, menekankan usaha memperkukuh tadbir urus negara melalui mekanisme seperti Rwanda Governance Scorecard yang menilai kebertanggungjawaban, ketelusan dan penyertaan rakyat dalam proses kenegaraan.
RDB, yang turut disertai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Juliana K. Muganza, berperanan sebagai pusat sehenti pelaburan dan pemangkin pembangunan ekonomi Rwanda, berinspirasi dari model agensi seperti MIDA di Malaysia dan EDB di Singapura.
Sementara itu, RTB yang diwakili Timbalan Ketua Pengarahnya Nassi Bisengo Agaba, memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan teknikal dan vokasional sebagai alat utama mengurangkan pengangguran dan meningkatkan daya saing negara.
Lawatan ini juga membuka potensi kerjasama strategik dalam pembangunan kapasiti, latihan kemahiran dan pemerkasaan institusi, khususnya dalam memperkukuh program seperti Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs menyifatkan Rwanda sebagai contoh negara yang bangkit dengan kekuatan jati diri, sistem kepimpinan berintegriti dan semangat patriotisme rakyat – elemen yang amat relevan dalam memperkukuh hala tuju pembangunan negeri Perlis.
“Nilai integriti dan semangat cintakan tanah air bukan sekadar pelengkap pentadbiran, tetapi asas kepada terbentuknya sebuah negara gemilang,” tegas beliau.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia