MADINAH AL-MUNAWWARAH, 26 Disember 2025 — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan menerima undangan berangkat melawat Muzium Antarabangsa Sirah Nabawi dan Sejarah Islam Madinah yang terletak di dalam perkarangan Masjid Nabawi, di sini hari ini.
Kunjungan Baginda bersama Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, disambut oleh Pengurus Besar muzium berkenaan, Yahya Attia Al-Kinani.
Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor, serta Timbalan Konsul Haji Jeddah, Affandi Abdullah.
Menurut kenyataan MAIPs, Tuanku Raja Muda Perlis bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, beserta anakanda-anakanda — Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra — berangkat menziarahi bumi Madinah al-Munawwarah sebelum meneruskan ibadah umrah di Mekah.
Muzium berprestij tersebut mula dibuka secara rasmi kepada umum pada tahun 2021 hasil inisiatif Liga Dunia Islam dengan kerjasama Kerajaan Arab Saudi, bertujuan mempersembahkan perjalanan hidup Rasulullah SAW serta perkembangan tamadun Islam berlandaskan kajian ilmiah yang sahih dan berautoriti.
Pembangunan kandungan muzium ini dilaksanakan menerusi penyelidikan mendalam oleh barisan ulama, sejarawan dan pakar sirah antarabangsa dengan rujukan kepada sumber muktabar al-Quran, hadis sahih serta karya klasik dan kontemporari dalam bidang Sirah Nabawiyyah dan Sejarah Islam.
Pendekatan pamerannya turut menggabungkan teknologi interaktif moden, termasuk visual multimedia, replika bersejarah dan paparan kronologi yang menekankan nilai dakwah, akhlak serta kepimpinan Rasulullah SAW sebagai pedoman umat sepanjang zaman.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia