29 September 2025 | Kangar. Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyeru seluruh warga industri pembinaan di negeri Perlis termasuk kontraktor, perunding dan para pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya program, latihan serta peluang yang disediakan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.
Baginda bertitah, warga industri juga hendaklah memperkukuh daya saing, mengadaptasi teknologi baharu serta mendukung aspirasi pendigitalan negara agar industri pembinaan di Perlis terus maju seiring negeri-negeri lain.
“Industri pembinaan di Perlis kini berkembang dengan semakin pesat, berdaya tahan dan berpotensi besar untuk terus menyumbang kepada agenda pembangunan negara. Angka-angka yang direkodkan setakat ini jelas membuktikan sektor ini menjadi antara pemacu utama pertumbuhan sosioekonomi negeri,” titah Baginda.
Titah itu disampaikan semasa Baginda berkenan merasmikan pembukaan Pejabat Baharu CIDB Perlis yang terletak di Kangar Jaya, diiringi keberangkatan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli serta Yang Berhormat Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Raja Muda Perlis turut bertitah penuh yakin bahawa pejabat CIDB yang baharu ini akan membuka lembaran baharu dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pihak industri. Baginda turut menyeru agar warga kerja CIDB menjadikan kemudahan lebih selesa dan moden tersebut sebagai pemangkin untuk meningkatkan mutu kerja, memperkukuh penguatkuasaan, memperluas latihan serta program TVET, selain mendukung transformasi digital industri melalui teknologi baharu seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).
Sementara itu, dalam sidang media, Ahmad memaklumkan bahawa terdapat lebih 130,000 kontraktor berdaftar di seluruh negara setakat ini, dengan 2,076 daripadanya di Perlis.
“Sebanyak 2,076 kontraktor ini melibatkan jumlah projek melebihi RM1.1 bilion. Setakat ini, projek yang tertakluk kepada levi bernilai RM500,000 dan ke atas telah didaftarkan bernilai RM689.3 juta di Perlis dengan nilai levi yang berjaya dikutip berjumlah RM861,715. Daripada jumlah ini, 31 peratus adalah projek swasta manakala 69 peratus projek kerajaan,” katanya.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia