Raja Muda Perlis Lanjutkan Misi Ilmu ke Institut Islam Rwanda, Tawar Peluang Pengajian ke UniSIRAJ

KIGALI, 23 Julai 2025 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, meneruskan rangka lawatan Safar Ilmi MAIPs 2025 ke Republik Rwanda dengan berkenan melawat Alhidayat Islamic Institute di Nyarugenge, Kigali — sebuah institusi di bawah seliaan Rwandan Muslim Community (RMC) yang menekankan pendidikan Islam dan kurikulum kebangsaan.

Keberangkatan Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail. Turut bersama ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Dalam sesi lawatan tersebut, Tuanku Raja Muda memperkenalkan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) sebagai destinasi pendidikan tinggi kepada para pelajar Alhidayat yang cemerlang, dengan menawarkan 10 peluang pengajian tajaan MAIPs melalui kerjasama bersama RMC.
Menurut MAIPs, Alhidayat Islamic Institute meskipun bukan berasrama, dikenali kerana tahap disiplin yang tinggi dan kekuatan barisan tenaga pengajarnya.

Baginda turut menzahirkan hasrat MAIPs untuk menerokai kerjasama strategik dalam pendidikan Islam antarabangsa bersama RMC Education, termasuk memperluas akses pelajar Rwanda ke institusi pendidikan tinggi di Malaysia, khususnya UniSIRAJ di Perlis.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor menekankan bahawa pendidikan ialah pemangkin pembangunan dan kekuatan ummah.

“MAIPs komited menjadi jambatan ilmu antara dunia Islam melalui hubungan rentas benua yang berteraskan hikmah dan nilai sejagat,” ujar beliau.

Sebagai kesinambungan lawatan, Tuanku Syed Faizuddin dan rombongan turut melawat Pusat Islam dan Budaya Kigali, sebuah kompleks Islam bersepadu yang merangkumi masjid, sekolah, pusat tahfiz, perpustakaan, dewan komuniti dan pusat kegiatan masyarakat.

Lawatan disambut meriah oleh Mufti Rwanda, Sheikh Musa Sindayigaya serta Pengarah Pusat Islam Kigali, Sheikh Abdul Latif Oula Aouid.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.