9Disember 2025.
Petaling Jaya, Selangor.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Majlis Perhimpunan Alumni Industri Chapter Tengah dan Selatan 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berlangsung di Hotel The Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Keberangkatan Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor, serta Pro Canselor 2, puteri Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Menyambut keberangkatan baginda adalah, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.
Perhimpunan Alumni Industri UniMAP bagi Chapter Tengah dan Selatan ini berfungsi sebagai platform penting yang menyatukan semula para alumni dengan dunia industri serta kepimpinan universiti, dengan kehadiran lebih 250 para alumni.
Tuanku Raja Muda bertitah bahawa golongan alumni memainkan peranan yang amat signifikan dalam mengukuhkan budaya menyumbang kembali kepada universiti.
Sumbangan tersebut merangkumi bimbingan, tajaan, perkongsian pengalaman, serta penyediaan peluang kerjaya yang bukan sahaja menyokong kemajuan institusi, malah melahirkan graduan berkualiti, kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. Usaha ini juga memperkukuh ekosistem pendidikan yang dinamik, inklusif dan seiring dengan keperluan industri semasa.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menegaskan bahawa alumni perlu terus aktif membangunkan jaringan kerjaya, membuka peluang latihan industri, serta menyokong program akademik berterusan yang memberi kelebihan kompetitif kepada pelajar. Sokongan terhadap agenda digitalisasi dan inovasi, selain keterlibatan alumni sebagai suara profesional Perlis di peringkat nasional serta serantau, adalah elemen penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negara.
“Anda adalah aset penting kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), negeri Perlis dan negara. Kehadiran anda dalam pelbagai sektor membuktikan bahawa alumni merupakan rantaian penghubung antara institusi pendidikan dan pembangunan nasional. Anda memacu pertumbuhan ilmu, kepakaran dan inovasi demi manfaat masyarakat secara keseluruhannya,” titah Tuanku Canselor UniMAP itu.
Dalam ucapannya, Datuk Zaliman memaklumkan bahawa inisiatif ‘500 Kasih Alumni’ kini menjadi simbol budaya ‘giving back’ yang semakin berkembang dalam kalangan bekas pelajar.
Sokongan awal alumni amat dihargai kerana ia bukan sahaja membantu menambah baik kemudahan universiti dan kebajikan pelajar, malah memperkukuh daya tahan kewangan UniMAP.
Beliau turut berkongsi bahawa Tabung Wakaf Alumni UniMAP menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan kutipan menghampiri RM200,000 setakat ini.
Majlis turut meraikan seramai 35 penerima ‘Outstanding Alumni Awards’ daripada tujuh fakulti, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan alumni dalam pelbagai bidang seperti profesionalisme, inovasi, kepimpinan dan keusahawanan.
Penyampaian Anugerah Alumni Outstanding Award itu menyerikan lagi majlis pada petang berkenaan.
Fakulti yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik, Fakulti Komputer Cerdas, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi serta Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia.
Kejayaan ini membuktikan bahawa graduan UniMAP mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama pemain industri di peringkat nasional mahu pun global.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia