ARAU, 24 Julai – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima mengadap Ketua Setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (Southern Border Provinces Administrative Centre – SBPAC), Piyasiri Wattanavarangkul di Istana Arau, hari ini.
Berangkat sama ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir mengiringi baginda ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Noor Azman Abdul Rahman; Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi; Ketua Polis Perlis, DCP Datuk Muhammad Abdul Halim; Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim; serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir ialah Pengarah Strategik, Komunikasi dan Hubungan Awam SBPAC, Thanyoporn Hataipitak.
Majlis mengadap itu menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara Negeri Perlis dan wilayah-wilayah selatan Thailand yang telah terjalin sejak sekian lama berasaskan sejarah, budaya, agama serta hubungan kekeluargaan yang merentasi sempadan.
Baginda bertitah, hubungan erat yang telah terjalin sejak berabad lamanya menjadi asas kukuh kepada usaha memperluaskan kerjasama rentas sempadan secara lebih menyeluruh.
Antara fokus utama perbincangan ialah usaha memelihara dan memperkukuhkan warisan Melayu-Islam yang menjadi identiti bersama masyarakat di Perlis dan wilayah selatan Thailand, termasuk pemerkasaan bahasa Melayu, tulisan Jawi, budaya, adat resam serta tradisi Islam.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan pengukuhan jaringan pengajian Islam melalui institusi pengajian tinggi di Perlis, penganjuran festival kebudayaan serta usaha memelihara dan mempromosikan seni warisan tradisional sebagai khazanah bersama.
Dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan, perhatian diberikan kepada pelaksanaan program pertukaran pelajar dan guru, kerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta peluang biasiswa kepada pelajar dari wilayah selatan Thailand untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Perlis, khususnya Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
Perbincangan turut merangkumi kerjasama dalam hal ehwal agama melibatkan pengurusan masjid, pengajian al-Quran dan pembangunan industri halal yang berpotensi meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat di kawasan sempadan.
Dalam sektor pelancongan, kedua-dua pihak meneliti potensi memperkukuhkan promosi pelancongan rentas sempadan melalui pembangunan laluan pelancongan warisan yang menghubungkan Perlis dengan Satun, Songkhla, Yala, Pattani dan Narathiwat, selain mempromosikan ekopelancongan, gastronomi serta makanan tempatan.
Golongan belia turut diberi perhatian melalui cadangan pelaksanaan program pembangunan kepimpinan, pertukaran sukan, pembangunan keusahawanan dan aktiviti kesukarelawanan bagi mengukuhkan persefahaman serta persaudaraan antara komuniti di kedua-dua wilayah.
Aspek kemanusiaan turut menjadi agenda perbincangan menerusi cadangan memperkukuhkan kerjasama dalam pengurusan bencana, bantuan kemanusiaan dan pelbagai inisiatif kebajikan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan sempadan.
Secara keseluruhannya, pertemuan itu mencerminkan komitmen bersama Negeri Perlis dan SBPAC untuk terus memperkukuhkan hubungan persahabatan Malaysia-Thailand serta memperluaskan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, kebudayaan, agama, pelancongan, belia dan kemanusiaan demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat di kedua-dua negara.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia