KIGALI, RWANDA, 24 Julai 2025 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menitahkan agar isu pemakanan bernutrisi tinggi diberi perhatian serius oleh semua pihak — termasuk institusi pendidikan, ibu bapa, pemain industri makanan, sektor kulinari, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan serta pembangunan sosial.
Titah tersebut dizahirkan semasa lawatan rasmi Baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, ke ibu pejabat Solid Africa, sebuah NGO berprestij di Kigali, Rwanda yang memperjuangkan sekuriti makanan dan akses kepada pemakanan seimbang, terutamanya dalam kalangan pesakit hospital dan masyarakat berpendapatan rendah.
“Kesedaran mengenai kepentingan makanan berkhasiat dan seimbang masih perlu ditingkatkan. Kita tidak boleh hanya mementingkan rasa dan kuantiti, tetapi juga impak terhadap kesihatan jangka panjang, terutama bagi kanak-kanak dan pelajar,” titah Tuanku Raja Muda.
Solid Africa kini menyediakan tiga hidangan lengkap setiap hari kepada lebih 1,500 pesakit di lima hospital awam di Rwanda. Sejak ditubuhkan pada tahun 2010, NGO itu telah menyumbangkan lebih lima juta hidangan kepada hampir 600,000 penerima manfaat, menjadikannya model unggul dalam pendekatan pemakanan perubatan dan komuniti.
Delegasi Perlis turut disertai Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, dan disambut mesra oleh pengasas Solid Africa, Isabelle Kamariza.
Perbincangan antara kedua-dua pihak menyentuh aspek:
Pendidikan nutrisi di peringkat sekolah dan komuniti
Pertanian lestari sebagai sumber makanan sihat
Latihan kemahiran dalam bidang pemakanan bernutrisi
Saranan Penyesuaian Model Rwanda ke Konteks Perlis
Tuanku Syed Faizuddin turut menyarankan supaya konsep bantuan makanan bernutrisi seperti yang diamalkan di Rwanda diteliti untuk pelaksanaan bersesuaian di Perlis, dengan mengambil kira realiti sosioekonomi tempatan.
“Jika ada ahli keluarga yang sedang menjalani rawatan, pemilihan makanan seharusnya disesuaikan dengan keperluan kesihatan mereka — bukan semata-mata kerana sedap atau mengenyangkan,” titah Baginda lagi.
Baginda juga menzahirkan penghargaan kepada Solid Africa atas usaha berterusan mereka dalam mengangkat nilai kemanusiaan melalui makanan, dan menyifatkan pendekatan mereka sebagai inspirasi kepada mana-mana kerajaan atau NGO yang ingin memacu kesihatan komuniti secara holistik.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia