KANGAR, 3 Januari 2026 — Setiap pengurusan organisasi disaran agar terus memperkasa keupayaan sumber manusia masing-masing secara berterusan melalui latihan berstruktur, penilaian prestasi yang telus serta pemupukan nilai moral dan spiritual yang tinggi dalam kalangan warga kerja.
Di samping itu, kepentingan pengiktirafan serta penambahbaikan berterusan dalam sesebuah organisasi juga perlu diberi penekanan, memandangkan penghargaan terhadap komitmen dan pencapaian warga kerja merupakan sumber motivasi yang ampuh. Setiap organisasi, titah Baginda, perlu sentiasa bermuhasabah agar sebarang kelemahan dapat dikenal pasti dan ditambah baik secara menyeluruh serta pantas.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), yang berlangsung di sekitar Kangar baru-baru ini.
Sempena program kayuhan berkenaan, Baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima terpilih, iaitu Diza Che Din, 59, dari Kampung Bakau; Zabedah Saad, 68, dari Kampung Sena; serta Abdullah Yunah, 46, dari Kampung Padang Nyaring.
Setiap penerima menerima bantuan wang tunai berjumlah RM700, selain Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah, sebagai tanda keprihatinan dan usaha berterusan MAIPs dalam meringankan beban golongan yang memerlukan.
Tuanku Raja Muda menambah, budaya kerja yang unggul tidak akan lahir secara spontan atau terbentuk dalam ruang yang ‘kosong’, sebaliknya memerlukan teladan daripada peneraju yang berwibawa, konsisten dan berpegang teguh kepada prinsip.
Menurut Baginda, kepimpinan sedemikian akan mencetuskan gelombang budaya kerja yang positif merentasi segenap lapisan organisasi, termasuk di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia