Oleh: Sholina Osman
29 MEI 2026
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis Bersama Komuniti Penduduk Wang Kelian, Perlis yang berlangsung di Masjid Nurul Husna, Wang Kelian.
Kenyataan media JIM memaklumkan perasmian program telah disempurnakan menerusi gimik simbolik khas yang dikendalikan oleh anggota Bahagian Penguatkuasa dan Unit Risikan JIM Perlis sebagai lambang kesiapsiagaan, profesionalisme serta komitmen berterusan jabatan dalam memelihara keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara.
Program tersebut melibatkan penyertaan kira-kira 500 orang penduduk setempat serta 60 orang pegawai dan anggota JIM Perlis, selaras dengan aspirasi memperkukuh hubungan strategik antara jabatan dan masyarakat melalui pendekatan kebersamaan, kesukarelawanan dan keprihatinan sosial.
AGENSI KERAJAAN NEGERI
Turut hadir Ahli Parlimen Padang Besar Rushdan Rusmi, wakil Kedutaan Thailand, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan, pemimpin masyarakat setempat, rakan strategik jabatan serta rakan media dan pengamal media massa.
Antara pengisian utama program ialah aktiviti gotong-royong komuniti dan Program Ibadah Korban yang melibatkan penyembelihan dua ekor lembu korban.
Sumbangan lembu korban tersebut merupakan hasil kerjasama Menteri Besar Abu Bakar Hamzah dan Rushdan sebagai manifestasi sokongan serta keprihatinan terhadap usaha memperkukuh kesejahteraan dan kebajikan masyarakat setempat.
DIAGIHKAN KEPADA PENDUDUK
Daging korban yang telah disempurnakan penyembelihannya kemudiannya diagihkan kepada penduduk Wang Kelian serta golongan yang memerlukan sebagai simbol semangat kebersamaan, kesyukuran dan perpaduan dalam komuniti.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada 30 orang asnaf, merangkumi bantuan kewangan dan agihan daging korban bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan serta memperkukuh agenda kebajikan masyarakat.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat nemperluas jaringan kerjasama strategik antara agensi dan masyarakat serta mendukung aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan kebersamaan rakyat.
Di majlis yang sama Raja Muda dan Raja Puan Muda turut berkenan menyerahkan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 30 orang asnaf terpilih di kalangan anak kariah berkenaan berjumlah penuh sebanyak RM21,000. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia