6 Oktober 2025 | Kuala Perlis
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menghoskan Majlis Santapan Malam Bersama Delegasi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Malaysia) yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni di Restoran Nyiru Klasik, Kuala Perlis.
Turut berangkat sama ialah anakanda-anakanda puteri baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Majlis santapan malam itu dihadiri oleh lebih 40 orang delegasi WI Malaysia dari seluruh negara, termasuk wakil dari Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Perak, Johor, Kelantan, Pahang dan Terengganu.
Delegasi WI Malaysia berada di negeri Perlis selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Oktober 2025, dengan pelbagai aktiviti dan lawatan muhibah yang dirancang bagi mengeratkan hubungan antara ahli-ahli WI dari seluruh negara.
Kemuncak program ialah Majlis Makan Malam 70 Tahun WI Perlis yang dijadualkan berlangsung pada 26 Oktober 2025 di Mess Pegawai Kanan PDRM, Jalan Raja Muda, Kangar, dan akan disempurnakan oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Majlis santapan malam yang dihoskan oleh Raja Puan Muda Perlis ini mencerminkan sokongan berterusan institusi diraja negeri terhadap usaha memperkasa peranan wanita dalam masyarakat, khususnya melalui platform Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Malaysia yang memainkan peranan aktif dalam pembangunan sosial, kebajikan dan kemasyarakatan.