Oleh: Sholina Osman
4 NOV. 2025
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri majlis “An Intimate Storytelling Experience: Gutsy Asian Story Circle” di Eslite Bookstore, Aras 1, The Starhill, Kuala Lumpur.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh pengasas dan penulisnya, Shera Fadzlin serta Datuk Yasmin Yusuff.
Majlis dimulakan dengan pengenalan buku ‘The Gutsy Asian’ dan naratif yang diketengahkan, diikuti sesi temu bual bersama pengarang yang membawa para hadirin menyelami proses kreatif di sebalik penulisan karya tersebut termasuk cabaran, inspirasi, serta visi yang ingin disampaikan.
DENGAN DIALOG TERBUKA
Sesi diteruskan dengan dialog terbuka kepada khalayak untuk bertanya, berkongsi pandangan dan terinspirasi oleh kisah-kisah yang dipaparkan.
Shera Fadzlin turut berkongsi kisah peribadi, latar belakang, motivasi dan refleksi tentang makna keberanian, identiti serta warisan Asia dalam konteks dunia moden hari ini.
Melalui Gutsy Asian Story Circle, para peserta diundang bukan sekadar untuk membaca, tetapi turut merasai dan memahami kisah-kisah Asia yang “gutsy” kisah yang berani, jujur dan memperteguh akar budaya serta jati diri dalam landskap global yang semakin mencabar.
Inisiatif Gutsy Asian Story Circle ini bertujuan memperkukuh budaya membaca dan memperkasakan suara penulis Asia melalui perkongsian naratif kehidupan yang sarat dengan inspirasi dan nilai kemanusiaan. – JM