Raja Puan Muda sempurnakan majlis Sumbangan Simpanan Bayi Lahir Tabung Putra Petri YTSP Perlis

Oleh: Sholina Osman
5 NOV. 2025

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Sumbangan Simpanan Bayi Lahir Tabung Putra Petri Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Bantuan Kepada Pesakit-Pesakit Hospital Tuanku Fauziah (HTF) 2025 yang berlangsung di Hotel Putra Regency, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Majlis anjuran YTSP Perlis ini merupakan sebahagian daripada program kebajikan tahunan yayasan bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis.

MEMBANTU MERINGANKAN BEBAN

Inisiatif ini bertujuan membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan serta menyemai budaya menabung dan perancangan kewangan dalam kalangan rakyat negeri Perlis.

Pada majlis berkenaan, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen berkenan menyerahkan sumbangan Tabung Putra Petri kepada 31 bayi yang dilahirkan di HTF Kangar antara 17 Mei hingga 17 Julai 2025, serta pengurniaan sumbangan peralatan perubatan kepada lapan pesakit kurang berkemampuan daripada hospital yang sama.

Daripada jumlah penerima bayi tersebut, 26 orang beragama Islam dan 5 orang bukan Islam.

Setiap mereka menerima sumbangan tabung simpanan beserta wang tunai berjumlah RM1,000 yang dikreditkan terus ke dalam akaun masing-masing.

KE DALAM AKAUN

Bagi bayi beragama Islam, simpanan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji, manakala bagi bayi bukan Islam, simpanan dikreditkan ke dalam akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Kedua-dua institusi kewangan ini bertindak sebagai pemegang amanah bagi pihak YTSP Perlis untuk memastikan simpanan hanya boleh dikeluarkan apabila penerima mencapai usia 18 tahun ke atas.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, program Tabung Putra Petri telah memberi manfaat kepada 244 orang bayi di seluruh negeri Perlis.

MENYEDIAKAN ASAS KEWANGAN

Inisiatif berimpak tinggi ini bukan sahaja menyediakan asas kewangan masa depan untuk anak-anak negeri, tetapi turut memperkukuh hubungan rakyat dengan institusi diraja.

Selain itu, YTSP Perlis turut menyampaikan sumbangan peralatan perubatan kepada lapan pesakit kurang berkemampuan dari HTF yang terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita.

Bantuan tersebut merangkumi peralatan seperti cermin mata dan alat sokongan kesihatan bagi memudahkan urusan rawatan serta meningkatkan kualiti hidup penerima.

Sehingga tahun 2025, YTSP Perlis telah menyalurkan lebih RM1.2 juta bagi membiayai bantuan peralatan perubatan kepada lebih 700 orang pesakit di seluruh negeri sejak program ini mula diperkenalkan pada tahun 2007. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.