Rakyat Padang Besar Diseru Rancang Awal Manfaat Potensi Zon Aliran Bebas Wang Kelian

20 Oktober 2025 | Padang Besar

Kepimpinan setempat dan penduduk Padang Besar, khususnya mereka yang berada di sepanjang laluan utama menuju ke pekan Wang Kelian, diseru supaya mula merancang secara strategik bagi memanfaatkan peluang ekonomi baharu sekiranya kawasan Zon Aliran Bebas Wang Kelian dibuka semula pada masa hadapan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelbagai inisiatif keusahawanan boleh dilaksanakan melalui pelbagai bentuk seperti persendirian, keluarga mahupun koperasi, memandangkan kawasan tersebut pernah menjadi tumpuan pengunjung pada hujung minggu sebelum ditutup pada tahun 2015.

“Jika ia belum diluluskan lagi sekalipun, tidak mengapa kerana cukup banyak pelancong yang kini mengunjungi Gua Kelam, Wang Kelian Viewpoint dan Titi Gantung FRIM melalui kawasan tersebut. Mereka memerlukan lebih banyak destinasi menarik sebagai persinggahan baharu untuk melawat, menjamu selera atau membeli produk tempatan yang unik,” titah baginda.

Baginda turut menyarankan agar penduduk dalam radius 15 kilometer dari pekan Padang Besar dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) turut merancang secara rapi sekiranya Zon Perdagangan Bebas Padang Besar mula diimplementasikan kelak.

Tuanku Raja Muda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Al-Azimm, Titi Tinggi, dekat sini. Ketibaan baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam titah lanjut, Tuanku Syed Faizuddin menegaskan bahawa produk-produk tempatan perlu dipromosikan secara lebih meluas kerana ia berpotensi besar menjana pendapatan masyarakat, khususnya pada musim cuti umum dan persekolahan.

“Kebersihan, kualiti dan perkhidmatan yang cemerlang menjadi kunci kepercayaan pelanggan bukan sahaja untuk bertandang sekali tetapi untuk berulang kali, sekali gus menjadikan Padang Besar dan Wang Kelian sebagai destinasi pilihan,” titah baginda lagi.

Sempena program berkenaan, baginda turut berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada 255 orang asnaf terpilih dari kariah Titi Tinggi, Bukit Chabang dan Wang Kelian. Setiap penerima menerima sumbangan tunai RM700, menjadikan jumlah keseluruhan agihan mencecah RM157,500 — manifestasi keprihatinan MAIPs terhadap kebajikan umat Islam di negeri Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.