30 November 2025.
Kangar.
Isu pembuangan sampah lazimnya menjadi antara cabaran utama setiap kali banjir melanda.
Namun, kali ini keadaan tersebut dilihat kurang menimbulkan kesukaran susulan rakyat Perlis yang semakin berdisiplin dalam menguruskan pembuangan sampah harian masing-masing.
Rakyat juga dilihat mulai proaktif dan lebih memberi keutamaan kepada kerjasama sejagat.
Walaupun usaha ini wajar dipertingkatkan lagi dari masa ke masa, namun situasi tersebut secara tidak langsung membantu mempercepatkan proses surut air di beberapa kawasan apabila sistem saliran dan longkang tidak tersumbat.
Selain daripada itu, kerjasama pelbagai agensi terutama Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) di dalam menyelenggara sistem saliran dalaman, sistem saliran jalan, sistem saliran pertanian, sistem saliran kampung dan sistem saliran sungai turut berjaya membantu mempercepatkan proses surut air.
Tindakan JPS Negeri yang segera membantu mengepam air keluar di kawasan-kawasan rendah turut membantu menyegerakan proses surut air ini.
Usaha MPK membantu proses pembersihan pasca banjir rumah ke rumah dan membersihkan laluan serta sekatan saliran longkang di taman-taman perumahan dilihat sebagai inisiatif tambahan yang membantu mempercepatkan proses pembersihan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau beberapa buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bencana Banjir di negeri Perlis baru-baru ini.
Antara Pusat Pemindahan Sementara yang disantuni baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama dua puteri iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, adalah PPS Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis Kampus Arau, PPS SK Guar Nangka, PPS SK Batu Bertangkup, PPS SK Bukit Keteri, PPS SK Beseri, PPS SK Behor Empiang, dan PPS Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis.
Turut mengiring ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Lawatan ini menzahirkan keprihatinan serta komitmen berterusan Institusi Diraja Perlis dalam memastikan kebajikan mangsa banjir sentiasa diberi perhatian sewajarnya.
Dalam pada itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa yang turut mengiringi Tuanku Raja Muda sepanjang lawatan tersebut menasihatkan agar mangsa banjir di negeri ini yang belum mendaftar dalam ‘Aplikasi MyIBJKM’ supaya segera melaksanakannya. Aplikasi ini digunakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membenarkan mangsa bencana melaksanakan proses pengurusan kendiri sebelum, semasa dan selepas bencana.
‘Apabila anda log masuk ke Aplikasi MyIBJKM, anda boleh dengan selamat: Mendaftar butiran peribadi sendiri, mendaftar butiran peribadi ahli keluarga, membuat proses daftar masuk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), membuat proses daftar keluar dari PPS, menyemak lokasi PPS terdekat dengan lokasi mangsa dan melihat butiran daftar masuk ke PPS’, jelas beliau.