Sarjana antarabangsa, Dr. Sayyid Abubakar Mohamed Al-Jamalullail dari Kenya berkunjung ke Perlis

Oleh: Sholina Osman
3 NOV. 2025

Sarjana antarabangsa, Dr. Sayyid Abubakar Mohamed Al-Jamalullail dari negara Kenya berada di Perlis dalam rangka kunjungan silaturahim serta penelusuran sejarah antara Afrika Timur dan Asia Tenggara.

Sebelum tiba di Malaysia sejak 25 Oktober 2025, beliau yang merupakan seorang pakar kesihatan awam yang turut berkhidmat sebagai perunding dalam bidang kesihatan awam untuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melawat Aceh, Indonesia.

Dr. Sayyid Abubakar dikenali atas sumbangan dan penglibatannya yang aktif dalam bidang kesihatan awam, epidemiologi, dakwah, serta khidmat kemanusiaan merentasi pelbagai negara.

DIPERKENAN SEMBAH MENGADAP

Ketika di Perlis, Dr. Sayyid Abubakar diperkenankan sembah mengadap ke hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Masjid Nurul Iman Nesam, Bintong baru-baru ini.

Beliau juga mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama
anakanda baginda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dalam program MAIPs Peduli di Masjid Al-Solihin, Bawah Bukit, Chuping.

Selain itu, beberapa sesi perbincangan dan pertukaran maklumat telah dilaksanakan melibatkan kerjasama antara Pusat Islam Riyadha, Lamu, Kenya dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diwakili Dr. Abubakar bersama Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr. Haji Hazman Hassan serta dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Ahli Jawatankuasa Kewangan dan Pengukuhan MAIPs, Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail.

BERTUKAR-TUKAR PANDANGAN

Kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai interaksi budaya rentas antara Malaysia dan Kenya, khususnya melibatkan komuniti keturunan Jamalullail yang masyhur bersusur galur dengan keturunan Rasulullah SAW di seluruh dunia.

Umtuk rekod, Pusat Islam Riyadha terdiri daripada sebuah masjid ikonik dan merupakan salah satu pusat Islam yang terpenting di Afrika Timur dan Tengah.

Kepentingannya sebagai hab keagamaan diperkasakan oleh Habib Swaleh, yang tiba dari Comoros pada tahun 1885.

Masjid ini, yang turut menempatkan Kolej Masjid Lamu (Lamu Mosque College), terkenal sebagai salah satu institusi pengajian Islam tertua yang masih berfungsi di rantau itu. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.