Oleh: Sholina Osman
Foto: Ihsan MAIPs
11 FEB. 2026.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar setiap fatwa yang telah dibuat secara teliti oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hendaklah sentiasa dipertahankan oleh semua pihak.
Baginda menekankan bahawa ketetapan hukum yang telah diperincikan itu merupakan rujukan penting yang harus dipelihara kewibawaannya, di samping perlu bersifat dinamik, relevan dan selaras dengan peredaran zaman bagi memastikan ia kekal menjadi panduan praktikal buat umat Islam.
Menurut Tuanku Syed Sirajuddin, institusi fatwa memikul tanggungjawab besar dalam menangani pelbagai isu kompleks yang muncul seiring dengan kemajuan teknologi serta perubahan landskap sosial, tanpa sama sekali mengetepikan prinsip-prinsip syarak yang hakiki.
MENERIMA SEMBAH MENGADAP
Demikian titah Tuanku Raja Perlis ketika berkenan menerima sembah mengadap Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis di Istana Siraj, Kuala Lumpur.
Berangkat sama mengiringi Baginda ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DIPertua MAIPs.
Dalam majlis yang sama, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menzahirkan keprihatinan Baginda terhadap agenda dakwah dan pembangunan ilmiah di negeri tersebut dengan menyerahkan sumbangan berjumlah keseluruhan RM600,000.
KHUSUS UNTUK PROGRAM
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM400,000 diperuntukkan bagi Pengurusan ISNAD dan Muballigh, manakala baki RM200,000 lagi diserahkan khusus untuk Program dan Aktiviti Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Sumbangan bagi Pengurusan ISNAD dan Muballigh bertujuan untuk memastikan penyebaran syiar Islam dilakukan secara tersusun menerusi pemantapan kualiti para pendakwah, manakala peruntukan bagi Jabatan Mufti akan digunakan untuk membiayai pelbagai program penyelidikan hukum serta aktiviti kesedaran masyarakat.
Titah Tuanku Raja lagi, pengurusan yang cekap dan pengisian aktiviti yang berkualiti adalah tunjang utama dalam memastikan institusi agama terus dihormati dan mampu mendepani cabaran pemikiran alaf baharu secara berhemah. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia