1Mac 2026. Sandakan, Sabah. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa Eksesais Perlis–Sabah (EKS PERBAH) merupakan manifestasi kerjasama strategik dan jangka panjang antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Perlis yang terjalin kukuh sejak tahun 2003.
Menurut Baginda, jalinan tersebut dibina atas asas kepercayaan, komitmen berterusan serta kepentingan bersama demi memastikan kebajikan anggota keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat sentiasa terpelihara.
Sepanjang lebih dua dekad pelaksanaannya, EKS PERBAH menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan. Inisiatif ini bukan sahaja menumpukan kepada kebajikan anggota keselamatan di pos-pos kawalan di perairan Pantai Timur Sabah, malah turut diperluaskan melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Baginda menegaskan bahawa kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil sinergi erat antara jabatan-jabatan kerajaan, rakan strategik, pihak korporat serta sektor swasta.
“Hubungan yang kukuh berteraskan kepercayaan akan membolehkan kita merancang dan melaksanakan lebih banyak program berimpak tinggi untuk kesejahteraan rakyat kedua-dua negeri,” titah Baginda.
Tuanku Raja Muda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Iftar Jamaie dan Majlis Apresiasi EKS PERBAH yang berlangsung di Elopura Hotel.
Keberangkatan Baginda disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Rahimi Ismail.
Dalam ucapannya, Datuk Rahimi menjelaskan bahawa Majlis Apresiasi tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak di Sabah yang terlibat, khususnya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Majlis Perbandaran Sandakan, anggota keselamatan serta jabatan-jabatan berkaitan yang telah memberikan kerjasama padu dalam menjayakan EKS PERBAH Tahun 2026.
Beliau turut memaklumkan bahawa EKS PERBAH merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Perlis yang dimulakan pada tahun 2003 hasil cetusan idea serta diketuai sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah.
Program yang pada awalnya dikenali sebagai Ops Pasir sebelum dijenamakan semula sebagai Eksesais Perlis–Sabah ini merupakan lawatan rasmi Kerajaan Negeri Perlis ke kawasan gerakan keselamatan di Sabah. Eksesais tahunan tersebut turut disertai barisan pentadbiran negeri, ketua jabatan, tokoh korporat serta pakar motivasi daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Tujuan utama penganjuran EKS PERBAH adalah untuk mempamerkan sokongan moral kepada anggota keselamatan yang bertugas mengawal kawasan sempadan negara di Sabah. Di samping itu, program ini memberi pendedahan kepada delegasi mengenai cabaran sebenar operasi pasukan keselamatan, khususnya di kawasan sempadan perairan negara.
Dalam majlis tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada wakil jabatan dan agensi dari Sabah sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka dalam menjayakan EKS PERBAH.
Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah serta semua agensi dan rakan strategik yang konsisten mendukung inisiatif ini selama lebih dua dekad.
“Semoga segala usaha dan kerjasama yang dilaksanakan ini diberkati serta terus menjadi jambatan ukhuwah yang mengeratkan lagi hubungan antara Negeri Perlis dan Negeri Sabah,” titah Baginda.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia