KANGAR, 6 Julai – Golongan muda yang memilih laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) disifatkan sebagai generasi yang bakal menjadi jurubina negara menerusi gabungan kemahiran praktikal, kreativiti serta kekuatan jati diri yang diperlukan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perubahan landskap pekerjaan global ketika ini menyaksikan permintaan terhadap tenaga mahir dalam bidang teknologi semakin meningkat, khususnya melibatkan Kecerdasan Buatan (AI), automasi dan analisis data.
Menurut baginda, industri masa kini tidak lagi hanya menilai pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya lebih memerlukan individu yang mampu menyelesaikan masalah, menguasai teknologi baharu serta mencipta nilai kepada organisasi dan masyarakat.
“Golongan muda perlu berani merebut peluang yang tersedia dalam bidang kemahiran dan TVET kerana ia membuka ruang yang luas untuk membina kerjaya masa depan yang lebih mampan serta berdaya saing,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis di sekitar Padang Behor, di sini.
Dalam titahnya, baginda turut menggesa golongan muda memanfaatkan peluang latihan dan pembangunan kemahiran yang tersedia sama ada di Perlis mahupun di luar negeri bagi memperkukuhkan keupayaan teknikal serta membentuk karakter kepimpinan yang berakhlak, berjiwa rakyat dan berorientasikan penyelesaian.
Program Kayuhan MAIPs Peduli merupakan inisiatif berterusan MAIPs dalam mendekati masyarakat menerusi pendekatan santai dan mesra komuniti, selain menjadi platform penyampaian bantuan kebajikan secara terus kepada golongan asnaf yang memerlukan.
Sempena program berkenaan, Raja Muda Perlis turut berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada tiga penerima iaitu Rahni Che Mat, 71, dari Kampung Sungai Bakong, Intan Baharom, 79, dari Kampung Padang Behor serta Munira Che Osman, 42, yang juga menetap di Kampung Padang Behor.
Setiap penerima menerima bantuan wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli serta bekalan beras fidyah bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.
Program tersebut sekali lagi membuktikan komitmen MAIPs dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela melalui pelbagai bentuk bantuan yang bukan sahaja memenuhi keperluan asas, malah memperkukuhkan nilai keprihatinan, kasih sayang dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Aktiviti seumpama ini juga selari dengan usaha memperkasakan pembangunan modal insan dan kesejahteraan komuniti, khususnya dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia