Usahawan asnaf diseru rebut peluang tingkat ilmu bagi kembangkan perniagaan – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
27 OGOS 2025

Usahawan asnaf diseru agar sentiasa merebut peluang dengan meningkatkan ilmu serta kemahiran, demi memastikan mereka berupaya mengembangkan perniagaan sekali gus melipatgandakan hasil dan pendapatan.

Usaha memperkukuhkan kapasiti dan keupayaan usahawan asnaf tidak boleh hanya bergantung kepada bantuan modal semata-mata, sebaliknya perlu diperkasakan melalui latihan, kursus dan bimbingan berterusan. Hal ini penting bagi membolehkan mereka bersaing dalam dunia keusahawanan moden yang kini berdepan cabaran era kecerdasan buatan.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan mengetuai program MAIPs Peduli yang berlangsung di sekitar Utan Aji, dekat Kangar baru-baru ini.

Berangkat sama mengiring ialah Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

PENYERAHAN AGIHAN ZAKAT

Sempena edisi kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyerahan agihan zakat kepada golongan asnaf terpilih berupa wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah.

Antara penerima sumbangan ialah Nor Azan @ Nor Milan Mat Isa, 49, dari Kampung Guar Ujong Batu, Junaidi Hamid, 57, dari Kampung Mengkuang Layar dan Ramlan Ramli, 75, dari Kampung Surau Utan Aji.

Titah Tuanku Raja Muda, penekanan terhadap pembangunan keupayaan usahawan pernah juga disampaikan baginda ketika berangkat ke Norrsken House di Kigali, Rwanda baru-baru ini, yang merupakan sebuah pusat perniagaan setempat yang berjaya muncul sebagai hab pembangunan usahawan melalui sokongan latihan dan jaringan strategik.

RUNDINGAN USAHAWAN ASNAF

Menjunjung titah tersebut, MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) menganjurkan Program Khidmat Nasihat dan Rundingan Usahawan Asnaf dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat).

Melalui kerjasama ini, peserta diberikan pendedahan oleh SSM mengenai proses pendaftaran perniagaan yang sah, kepentingan pematuhan undang-undang serta cara mengurus rekod perniagaan secara lebih sistematik.

Sementara itu, Bank Rakyat pula memperkenalkan pelbagai kemudahan pembiayaan, skim pinjaman serta bimbingan kewangan yang boleh dimanfaatkan bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Program yang berlangsung di Dewan Kuliyyah MAIPs ini diadakan khusus untuk menyediakan khidmat nasihat, panduan pembangunan perniagaan serta membuka akses kepada jaringan sokongan institusi berkaitan.

Dengan penganjuran inisiatif sebegini, MAIPs optimis bahawa usahawan asnaf akan lebih berdaya maju, seterusnya menjadi bukti bahawa golongan asnaf juga mampu berdikari dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.