KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu terus diperkasa dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang selari dengan keperluan industri, termasuk di peringkat antarabangsa.
Titah baginda pendekatan pendidikan yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman sebenar di tempat kerja amat penting bagi memastikan graduan bukan sahaja bersedia memasuki alam pekerjaan, malah memiliki kompetensi serta daya saing untuk memenuhi tuntutan industri masa hadapan.
“Usaha memperkukuh Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), pensijilan profesional dan program yang diiktiraf industri perlu terus diperkasakan.
“Ia bagi melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran relevan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan pasaran pekerjaan yang semakin dinamik,” titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan ‘UniMAP Industry Eminence Awards 2026’ di Iconic Marjorie Hotel, Nibong Tebal di Pulau Pinang.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor UniMAP.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zaliman Sauli.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyeru rakan industri supaya terus memperkukuh kerjasama strategik bersama UniMAP, khususnya dalam bidang yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan teknologi negara.
“Dengan hampir 3,000 graduan dilahirkan setiap tahun, serta kira-kira 70 peratus daripadanya menyertai sektor elektrik, elektronik dan semikonduktor, UniMAP terus memainkan peranan penting sebagai penyumbang bakat kepada industri-industri strategik negara,” titah baginda.
UniMAP Industry Eminence Awards 2026 memberi pengiktirafan kepada 31 rakan industri strategik yang memberikan sumbangan signifikan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi universiti, khususnya dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, pembangunan mahasiswa, penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan.
Pengiktirafan turut mencerminkan penghargaan UniMAP terhadap kepercayaan dan komitmen rakan industri yang terus bekerjasama dengan universiti dalam menyediakan peluang pembelajaran berasaskan pengalaman, latihan industri, penyelidikan serta pembangunan bakat yang memenuhi keperluan dunia pekerjaan.
Hargai rakan industri
Majlis berkenaan menjadi platform penting untuk menghargai rakan industri yang terus mempercayai keupayaan UniMAP sebagai institusi pendidikan tinggi berteraskan teknologi dan kejuruteraan, selain komited bersama-sama universiti dalam membangunkan bakat masa hadapan.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan penganugerahan kepada penerima terdiri pelbagai sektor, termasuk syarikat multinasional, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta agensi kerajaan.
Majlis berprestij itu turut diadakan bersempena sambutan 25 tahun Jubli Perak penubuhan UniMAP, mencerminkan perjalanan universiti dalam membangunkan kepakaran, bakat dan inovasi berteraskan teknologi serta kejuruteraan.
Kerjasama berterusan antara universiti dan industri diyakini terus membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk memperoleh pengalaman sebenar, menguasai kemahiran yang diperlukan industri serta membina keyakinan untuk bersaing bukan sahaja di peringkat nasional, malah di arena antarabangsa.