MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Arau – “Enam fokus Tentera Darat sempena Hari Tentera Darat pada kali ini merupakan manifestasi daripada mantan-mantan panglima Tentera Darat yang terdahulu. Kita perlulah mendukung aspirasi dan impian tinggi ini bagi memastikan Askar Wataniah terus membanting tulang, bersedia menghadapi segala rintangan dan berusaha mencapai misi yang diamanahkan.”
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan dan seterusnya mengetuai program Kayuhan Amal Sempena Hari Tentera Darat ke-89, anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah.
Secara umumnya, menurut baginda, program ini jelas menunjukkan tahap kematangan majikan apabila cakna terhadap kebajikan pegawai dan anggota, seiring dengan tema program “Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin”.
“Setiap anggota haruslah mengambil peluang daripada perancangan pihak pemerintahan atasan dan terus menitikberatkan segala objektif dalam perkhidmatan demi kepentingan bersama,” titah baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen yang sentiasa memegang slogan “Latih untuk Perang”.
Raja Muda Perlis berkenan berangkat menanam pokok bunga kertas sebagai simbolik penganjuran progam.
Sebagai simbolik kenangan penganjuran program pada kali ini, satu persembahan Tarian Perang oleh anggota sukarela dan juga penanaman lima pohon pokok bunga kertas turut diadakan.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Panglima 6 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak, di perkarangan Masjid As-Sobirin Kampung Gial.
Selain program tersebut, turut diadakan penyerahan sumbangan ikhlas daripada warga 6 Briged Infantri dan Kor Polis Tentera DiRaja yang diketuai oleh Ketua Provos Marsyal Angkatan Tentera Malaysia Brigedier Jeneral Dato’ Haji Mislan Anuar yang juga merangkap Pengerusi Kor Polis Tentera DiRaja (KPTD), Provos Marsyal Darat Brigedier Jeneral Azman @ Norazman Selamat dan Pengarah KPTD Brigedier Jeneral Abd. Wahab Geoh kepada tiga buah keluarga asnaf, melalui program Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.
Sumbangan ikhlas diedarkan kepada tiga buah keluarga asnaf
Sumber daripada Jendela DBP