MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
ARAU: Perlis akan melaksanakan solat jenazah ghaib di atas pemergian ulama tersohor dunia, Syeikh Dr Yusuf Abdullah al-Qaradawi di seluruh masjid di negeri itu selepas solat Zohor esok.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memperkenan agar dilaksanakan solat jenazah ghaib ke atas al-Imam al-'Allamah As-Syeikh Yusuf Al-Qaradawi Rahimahullah di masjid seluruh Negeri Perlis.
"Memandangkan solat jenazah ke atas Rahimahullah dimaklumkan akan dilaksanakan pada waktu Asar di Qatar pada hari ini maka pelaksanaan solat jenazah ghaib ke atas Rahimahullah di masjid seluruh Perlis adalah diselaraskan sejurus selepas solat Zuhur esok iaitu pada Rabu bersamaan 28 September.
"Sehubungan itu, adalah digalakkan kepada seluruh umat Islam di Perlis untuk menyertai solat berkenaan seperti yang diperkenankan berdasarkan Sunnah Baginda Rasulullah SAW," titah baginda.
Raja Perlis juga dijadualkan berangkat melaksanakan solat Zuhur dan solat jenazah ghaib di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di Kangar seperti waktu yang ditetapkan.
Semalam, dunia Islam dikejutkan dengan pemergian ulama terkenal dunia itu yang meninggal dunia pada usia 96 tahun.
Dr Yusuf al-Qaradawi dilahirkan di Mesir namun sudah menetap di Qatar sejak 2013 selain turut diberikan kerakyatan negara berkenaan.
Sumber: Utusan