MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Kontinjen Sukan Angkat Berat Negeri Perlis ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 mendapat suntikan semangat dan nafas baru dengan keberangkatan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyaksikan latihannya di Dewan Angkat Berat Negeri di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kampung Baharu, Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Jurulatih Angkat Berat Perlis, Dr. Mohd Faiz Musa serta para pegawai dari Majlis Sukan Negeri.
Dewan ini merupakan pusat latihan utama yang baharu bukan sahaja buat atlet angkat berat negeri yang dilengkapi dengan pelbagai fasiliti malah turut menjadi pusat latihan atlet dari beberapa negara lain untuk satu-satu masa termasuk Shendel dari Mexico, Eoin Kealy dan Molly Coffey O Connor dari Ireland, Andrei Barsan dari Romania dan beberapa negara lain lagi.
Skuad angkat berat Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis sedang giat menjalani latihan sebagai persediaan bagi temasya yang akan berlangsung di Sarawak pada Ogos 2024 ini.
Muhd Azri Irfan Azhar, Mohd Aizul Hafizi Roslin, Muadzam Muzammil, Mohd Syabil Sukimam, Aimran Syahir Roslin merupakan sebahagian daripada pasukan angkat berat SUKMA Perlis yang akan bertanding bagi kategori masing-masing.
Baru-baru ini atlet angkat berat wanita Perlis, Sharifah Aiesyah Al Qadree Syed Amran, Nur Qalida Umirah Abdullah, Nur Qalida Umirah Abdullah, Dhi’ya Raihan Dzulkarnain dan Fitrah Nur A’faf Zahra Shahid telah menjalani latihan intensif di Indonesia di bawah kendalian jurulatih negara berkenaan, Supeni.
Rejim latihan penuh selama sebulan di PPLP Sumut Medan Sunggal, Bandar Medan Sumatera Utara Indonesia melibatkan sesi pagi dan petang serta para pelatih mendapat pendedahan dengan persekitaran pertandingan sebagai persediaan temasya SUKMA kali ini.
Perlis juga telah terpilih sebagai tuan rumah bagi Kejohanan Bakat Sukan Angkat Berat Zon Utara 2024 yang telah berlangsung di dewan tersebut pada 12 hingga 14 Julai 2024 baru-baru ini.
Semoga atlet-atlet kita sukses di SUKMA kelak.
Sumber daripada Suara Merdeka.