MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR 7 Ogos – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Badminton Malaysia Junior International Challenge 2024 yang berlangsung di Dewan 2020, Kangar.
Kejohanan ini berlangsung di Perlis selama 6 hari bermula 6 Ogos sehingga 11 Ogos 2024 yang melibatkan penyertaan seramai 331 pemain-pemain badminton dalam negara dan juga pemain badminton dari pelbagai negara bagi kategori perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki dan beregu wanita serta beregu campuran.
Antara negara yang terlibat pada kali ini termasuklah Indonesia, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, Australia, Korea Selatan, Ireland, Kanada, Kazakhstan, Azerbaijan, England dan Iran.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyaksikan dua perlawanan bagi kategori beregu lelaki.
Baginda menzahirkan rasa sukacita atas pemilihan Perlis sebagai tuan rumah bagi kejohanan yang berprestij tinggi di peringkat antarabangsa seperti ini. Tuanku Pemangku Raja Perlis juga berharap agar negeri ini akan terus diberi peluang menjadi pilihan bagi penganjuran sebarang kejohanan dan aktiviti sukan peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa khususnya ketika kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 berlangsung.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra menyarankan ibubapa para pelajar yang berminat dalam sukan badminton meluangkan masa membawa anak-anak mereka menyaksikan pertandingan ini untuk memberi pendedahan menyaksikan dengan mata sendiri para pemain berjuang. Apatah lagi sebagai pembakar semangat pada ketika ini dua pingat gangsa Temasya Sukan Olimpik negara sudahpun diperolehi melalui sukan badminton menerusi Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Baginda dan anakanda turut berkenan berfoto kenangan dengan para pemain badminton yang mewakili pasukan remaja kebangsaan dalam kejohanan ini.
Sumber: Suara Merdeka