MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
ARAU: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan surau baharu Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini hari ini.
Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut dihadiri Guru Besar STB, Nor Zaitun Ibrahim dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Saifol Zairy Abd Rahim.
Majlis perasmian itu turut dihadiri bekas Guru Besar STB, Azhar Darus yang menjadi antara penggerak awal pada tahun 2018 bersama PIBG bagi mengumpul dana melalui pelancaran tabung pembinaan surau berkenaan.
Rentetan itu, pelbagai pihak menyumbang melibatkan alumni sekolah tersebut, ibu bapa dan masyarakat setempat yang mengambil masa selama dua tahun bagi mengumpulkan dana sebelum kerja-kerja pembinaan dilaksanakan dengan kos sebanyak RM350,000.
Pembinaan surau dengan nama Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail itu siap sepenuhnya pada Jun 2022 dan PIBG membuat penyerahan kepada pihak sekolah berkenaan.
GURU-guru bergambar pada majlis perasmian surau baharu Sekolah Tengku Budriah (STB) di STB, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Baginda dalam titah ucapan mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya mengumpul dana sehingga terbinanya surau yang tersergam indah itu.
Baginda bertitah, masjid dan surau mempunyai perana besar terutama dalam membentuk masyarakat Islam berilmu dan berakhlak mulia.
“Antara peranannya termasuklah sebagai pusat penyatuan ummah, pusat pendidikan ummah dan pusat kemasyarakatan yang membantu ummah. Rumah ibadah bukan sahaja berperanan sebagai pusat ibadah malah berfungsi sebagai pelantar bagi meningkatkan kesejahteraan, perpaduan dan kehidupan masyarakat,” titah baginda.
Seterusnya baginda bertitah, duit kutipan dan sumbangan perlu diuruskan dengan sebaiknya dan digunakan bagi tujuan membawa manfaat serta kemaslahatan kepada masyarakat.
Titah baginda, pihak pengurusan masjid atau surau juga perlu mengambil langkah proaktif dengan sentiasa berinovasi bagi menarik masyarakat supaya lebih dekat dengan masjid serta surau khususnya golongan belia.
“Usaha dan langkah bagi mendekati golongan ini perlu ditingkatkan agar mereka memiliki pengetahuan dalam urusan agama serta dapat menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala sosial dan penyelewengan akidah,” titah baginda.
Terdahulu turut berlangsung Karnival Kebudayaan Islam di sekolah berkenaan yang menyajikan pelbagai aktiviti menarik.
Sumber: Utusan