MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Lima penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya tersenarai sebagai antara World’s Top 2% Scientists By Stanford University for Career – long & Single Year Citation Impact (2024).
Penyelidik-penyelidik yang telah mengharumkan nama UniMAP di persada antarabang tersebut adalah Prof. Teknologis Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, Prof. Dr. Subash Chandra Bose Gopinath, Prof. Madya Dr. Liew Yun Ming, Prof. Madya Dr. Heah Cheng Yong dan Prof. Madya Insinyur Teknologis Dr. Azwan Iskandar Azmi.
Demikian titah perutusan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui siaran video sewaktu sidang Keempat Istiadat Konvokesyen Ke-19 UniMAP yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP di Pauh Putra petang ini.
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro-Canselor UniMAP berkenan berangkat bagi menyempurnakan istiadat konvokesyen berkenaan.
Keberangkatan tiba Tuanku Raja Puan Muda disambut oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood, Naib Canselor Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan pengurusan tertinggi universiti.
Seramai 434 graduan telah terlibat pada sidang keempat ini daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) dan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE).
Yang terlibat adalah daripada Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Sistem Elektronik) Dengan Kepujian (31 Graduan), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Reka Bentuk Telekomunikasi Elektronik) Dengan Kepujian (38 Graduan), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Reka Bentuk Rangkaian Elektronik) Dengan Kepujian (52 Graduan), Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik Industri Dengan Kepujian (16 Graduan), Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan Dengan Kepujian (51 Graduan), Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia Dengan Kepujian(95 Graduan), Sarjana Muda Kejuruteraan Polimer Dengan Kepujian (37 Graduan), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Teknologi Makanan) Dengan Kepujian (49 Graduan), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Proses Kimia Industri) Dengan Kepujian (36 Graduan) dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi Industri) Dengan Kepujian (29 Graduan).
Tuanku Raja Muda bertitah bahawa, ‘Para mahasiswa wajar mencontohi tingkah laku pemimpin-pemimpin terdahulu yang sentiasa disebut-sebut sebagai contoh ikutan dalam mereka menyantuni golongan atasan, bawahan dan juga masyarakat sekeliling’.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Mahasiswa juga perlu melibatkan diri dengan menyertai aktiviti kemasyarakatan dengan menyantuni semua golongan seperti asnaf, gelandangan dan sebagainya. Aktiviti sebegini pasti akan memberikan perspektif hidup yang berbeza’.
Alumni semua berperanan sebagai duta UniMAP dan bertanggungjawab untuk menjaga nama baik universiti apabila melangkah ke peringkat seterusnya iaitu alam pekerjaan. Jadilah pekerja yang berkualiti dan menjadikan UniMAP sebagai salah satu universiti yang menghasilkan graduan-graduan bermutu tinggi”, titah Baginda lagi.
Sumber daripada Suara Merdeka